Amanah, DAP khianati PH, kata Adun PKR


Zaim Ibrahim

DAP dan Amanah berkata PH tidak akan dapat menguasai Putrajaya semula sekarang kerana dengan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, mereka hanya ada sokongan 96 ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2020.

AMANAH dan DAP mengkhianati Pakatan Harapan apabila menolak pencalonan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, sekiranya gabungan itu sekali lagi jadi kerajaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dari PKR.

Katanya, dengan pengkhianatan itu, PKR “wajib” menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Beliau juga menggesa agar Amanah dan DAP disingkirkan daripada kerajaan negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang diterajui menteri besar dari PKR.

“Sebagai sebuah parti yang berprinsip, PKR harus ambil pendirian tegas dan mengecam komponen PH yang seolah-oleh seperti kacang lupakan kulit,” katanya, dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad dan setiausaha organisasi DAP Anthony Loke dalam satu kenyataan bersama meminta PKR kembali menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Kata mereka, PH tidak akan dapat menguasai Putrajaya semula sekarang kerana dengan Anwar sebagai calon perdana menteri, mereka hanya ada sokongan 96 ahli Parlimen.

Mereka berkata parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri, ketika PH mahu mencabar majoriti kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak stabil.

Zulkifli mengeluarkan kenyataan ketika ada spekulasi beliau akan keluar dari parti.

Diminta menjelaskan kenyataannya, Zulkifli berkata tiada makna lagi untuk PKR kekal dalam PH setelah Amanah dan DAP tidak bersetuju untuk Anwar jadi perdana menteri.

Katanya, pendirian dua parti komponen PH itu mencabar prinsip PKR sebagai sebuah parti.

“Jadi saya rasa tak perlulah PKR nak bersama PH kalau matlamat hendak presiden PKR jadi PM tidak tercapai.

“Keluar kenyatan macam itu, macam ini, buat apa. Keluar saja PH, kalau betul kata berprinsip.

“Tiada makna PKR bersama PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Masih dengan PKR

Zulkifli juga menepis dakwaan akan keluar dari PKR.

“Saya masih ahli dan Adun PKR,” katanya.

Zulkifli mengeluarkan kenyataannya sehari selepas tersebar gambar yang menunjukkan beliau hadir dalam satu pertemuan dengan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang sudah digantung keahlian dari PKR.

Dr Afif tidak membuat rayuan terhadap penggantungannya, lapor media sebelum ini.

Pertemuan itu mencetuskan spekulasi kerana turut melibatkan Adun dari Umno, PAS dan Bersatu, yang berlangsung di pejabat Dr Afif di Seberang Jaya.

Zulkifli mengesahkan hadir dalam pertemuan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Adun-adun lain yang hadir juga enggan mendedahkan sebarang butiran pertemuan semalam. – 20 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen