Anwar gagal raih sokongan jadi calon PM, kata DAP, Amanah


DAP dan Amanah mendakwa hanya 96 ahli Parlimen menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

DAP dan Amanah mendedahkan, Pakatan Harapan tidak akan berjaya menguasai Putrajaya semula sekiranya Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menjelaskan, ini kerana hanya 96 ahli Parlimen akan menyokong rancangan itu.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga mendedahkan, sebab itulah perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon alternatif.

Mereka juga mengingatkan, PKR sudahpun bersetuju dengan perkara itu yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei.

Jelas mereka, Anwar sememangnya pilihan pertama sebagai calon perdana menteri dan pilihan kedua pula menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Dengan itu, mesyuarat menetapkan pilihan kedua akan dikemukakan sekiranya pilihan pertama gagal membolehkan Putrajaya diambil alih, kata Loke dan Khalid dalam kenyataan itu.

Jelas mereka, ahli parlimen dari Warisan tidak menyokong pilihan pertama dan usaha mendapat sokongan GPS juga tidak berhasil.

“Setelah berusaha sedaya upaya, kita mendapati opsyen pertama hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 ahli parlimen, iaitu 91 dari Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP dan 11 Amanah) dan lima lagi termasuk (Dr Mahathir) dan empat ahli parlimen Bersatu yang bersamanya.

“Usaha terakhir Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan GPS juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi.”

Amanah dan DAP seterusnya berharap PKR kembali merujuk kepada keputusan mesyuarat tersebut dan menerima pilihan kedua yang dibincang dan dipersetujui bersama dalam Majlis Presiden PH.

“Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara.

Kenyataan itu timbul selepas PKR mengeluarkan kenyataan keras yang menegaskan pendirian parti itu agar Anwar dinamakan sebagai calon perdana menteri.

PKR juga menegaskan tidak menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk tempoh enam bulan.

Beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya PH berjaya mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan atau sekiranya pilihan raya mengejut diadakan. – 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen