DMX, penyanyi rap yang popular dengan lagu “Party Up (Up in Here)”, berdepan hukuman penjara selepas mengaku bersalah lari daripada cukai sebanyak AS$1.7 juta.
Pendakwa berkata penyanyi dan pelakon berusia 46 tahun itu mengelak cukai dengan menjalani kehidupan menggunakan wang tunai, tanpa akaun bank atau memfailkan pendapatannya kepada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri.
DMX, atau nama sebenarnya Earl Simmons mengaku bersalah di hadapan hakim persekutuan di New York dan bersetuju membayar semula cukai, kata pendakwa.
Dia akan dijatuhi hukuman pada 29 Mac dan berdepan kemungkinan dipenjara lima tahun.
Penyanyi itu berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun jika dia dibicarakan dan disabitkan dengan semua pertuduhan.
“Tidak kira siapa anda atau populariti yang dicapai, undang-undang terpakai kepada semua, dan tidak ada sesiapa terlepas daripada tanggungjawab bersama untuk membayar cukai,” kata Joon Kim, pemangku peguam negara Amerika Syarikat untuk daerah selatan New York.
DMX menjadi terkenal dalam genre hip hop pada penghujung 1990-an dan awal 2000.
Dia beberapa kali berdepan masalah undang-undang dan didakwa termasuk kerana melakukan kekejaman terhadap haiwan, memiliki dadah dan gagal membayar nafkah anak.
Lagu hits “Party Up (Up in Here)”, di mana DMX memperlekehkan penyanyi rap lain dan dilengkapi dengan video rompakan bank, menjadi hasil seninya yang paling dikenali dan sering digunakan dalam filem, termasuk filem “Ghostbusters”, baru-baru ini.
Pendakwa berkata DMX gagal membayar AS$1.7 juta cukai liabiliti antara 2002 dan 2005.
Mereka mendakwa DMX memperoleh pendapatan AS$2.3 juta lagi antara 2010 dan 2015, dan sekali lagi tidak membayar cukai dan malah mengugut keluar daripada siri rancangan realiti selebriti “Couples Therapy”, apabila jabatan gaji menolak cukai daripada bayarannya. – AFP, 1 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh 米 多多 · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bird dichi · Ulasan