Projek kotak makanan untuk golongan memerlukan


Aminah Farid

Makanan asas diletakkan di sebuah kotak besar di stesen minyak Shell di Setia Alam, Shah Alam, Selangor dan sesiapa yang memerlukan, boleh mengambilnya. – Gambar ihsan Alfred Samuel, 19 Jun, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) mempamerkan kebaikan budi ramai rakyat Malaysia terhadap golongan yang memerlukan, dan ketika sekatan mula dilonggarkan, sebahagiannya masih meneruskan peruntukan bantuan, walaupun dengan pendekatan berbeza.

Projek Community Food Box (kotak makanan komuniti) bermula di Setia Alam, Shah Alam, Selangor di mana orang ramai boleh menderma lebihan barangan makanan di satu tempat, daripada ia dibazirkan.

Keluarga yang memerlukan boleh mengambil bahan makanan itu, kata pengasas bersama projek berkenaan, Dr Madhusudhan Shammugam.

Mereka mendapat inspirasi untuk memulakan projek itu daripada rakannya di Australia yang melakukan program sumbangan makanan.

Madhusudhan berkata beliau kemudian teringat rakannya ada sebuah stesen minyak yang sesuai dijadikan lokasi, dan berkongsi idea itu.

“Ketika PKP, saya dan rakan-rakan lain sibuk membantu keluarga memerlukan menerusi bank makanan selain sumbangan daripada rakan.

“Pada ketika itu, saya berhubung dengan Suraya Surawan, pemilik francais stesen minyak Shell di Setia Alam.

“Suraya juga buat perkara yang sama dengan membantu beberapa keluarga di sekitar Setiap Alam menggunakan duit mereka sendiri.

“Kami kemudian mula bekerjasama kerana jumlah keluarga memerlukan juga semakin bertambah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Matlamatnya ialah untuk membantu keluarga atau individu memerlukan tetapi takut atau malu untuk minta sumbangan daripada orang lain.

“Ada banyak keluarga atau individu di luar sana yang benar-benar memerlukan bantuan tetapi takut mendatangi sesiapa.

“Dan pada masa sama ada banyak individu atau kumpulan persatuan sivil yang sanggup membantu, tetapi tidak ada saluran yang tepat,” katanya.

Kotak makanan komuniti itu membenarkan mereka yang memerlukan menerima bantuan tanpa rasa segan, dan ia juga projek yang membolehkan sesiapa saja menyumbang semula kepada masyarakat, katanya.

“Bila kita ada produk makanan di rumah yang hampir tamat tempoh, kita biasanya buang atau tunggu ia tamat tempoh, dan buang. Tetapi makanan itu mungkin berharga untuk orang lain.

“Dengan membuat sumbangan kecil ini, ia dapat mengurangkan beban keluarga memerlukan. Ramai daripada kita tahu keadaan ini kerana kita kadang-kala cenderung terlebih membeli barang.”

Madhusudhan berkata setakat ini respons amat baik, ada beberapa keluarga datang mengambil barangan makanan. – 19 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen