Semua masjid di zon hijau Wilayah Persekutuan boleh dibuka, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Semua masjid dan surau di zon hijau di Wilayah Persekutuan kini dibenarkan dibuka untuk orang ramai tetapi masih perlu mematuhi SOP yang dikenakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

SEMUA masjid dan surau di zon hijau di Wilayah Persekutuan kini dibenarkan dibuka, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan berkata untuk masjid dan surau di negeri lain, kebenaran daripada majlis agama negeri mesti diperoleh sebelum dapat dibuka kepada orang ramai.

“Kerajaan sudah membenarkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibuka untuk orang ramai. Bagaimanapun SOP masih sama.

“Bagi negeri lain mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada majlis agama Islam negeri sebelum dapat dibuka kepada semua orang,” katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Pada Mac Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat ditangguhkan sehingga perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.

Ini mengikut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar umat Islam menunaikan solat di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat di mana hampir semua aktiviti sosial keagamaan, perniagaan dan pendidikan dibenarkan untuk beroperasi secara berperingkat di bawah SOP yang ketat.

Perayaan Hari Raya Aidiladha dan aktiviti Quran juga diizinkan tetapi penganjur mesti mematuhi SOP. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen