Mohammed Haniffa Abdullah pengerusi baharu Perkeso


Ravin Palanisamy

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mahsa Mohammed Haniffa Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang baharu hari ini. – Gambar mahsa.edu.my, 15 Jun, 2020.

PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Mahsa Mohammed Haniffa Abdullah hari ini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mohamned Haniffa juga dilantik sebagai Panel Pelaburan, Pengerusi Jawatankuasa Insurans Pekerjaan dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Pelantikannya diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan di Menara Perkeso di Jalan Ampang Kuala Lumpur pagi ini.

Haniffa merupakan pro-censelor dan ketua eksekutif di Mahsa Education Group, universiti perubatan dan kesihatan swasta terbesar di Malaysia.

Pelantikan baharu yang lain untuk Lembaga Perkeso ialah Abdul Halim Mansor, Mohamad Ibrahim Hamid dan Adnan Mat.

Mereka dilantik sebagai ahli Lembaga mewakili ‘orang berinsurans’.

Semalam The Malaysian Insight melaporkan empat ahli Lembaga Perkeso telah dipecat.

Empat ahli lembaga Perkeso itu ialah Andrew Lo, Yong Hee Kong, Wee Hock Kee dan Japar Abd Majid.

Mereka menerima notis bertulis daripada seorang menteri yang memaklumkan penamatan tugas mereka sebagai ahli lembaga pada minggu lalu.

Dengan pelantikan baharu itu Saravanan berkata beliau percaya Perkeso mempunyai ahli lembaga yang hampir sempurna.

“Mohammed Haniffa merupakan pakar perubatan, berpengalaman dan berjaya dalam Pendidikan terutama bidang perubatan.

“Lembaga ini juga terdiri daripada orang awam, profesional dan ahli korporat,” katanya. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen