Patrick Teoh didakwa hina TMJ


Bekas penyampai radio yang juga pelakon Patrick Teoh didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Facebook.– Gambar Youtube, 14 Jun, 2020.

BEKAS penyampai radio yang juga pelakon Patrick Teoh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menghina Tengku Mahkota Johor.

Beliau mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan mengeluarkan kenyataan jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh berusia 73 tahun itu didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Teoh diwakili peguam M. Puravalen dan Wong Hong Yi, manakala Mohd Syafiq Mohd Ghazali selaku timbalan pendakwa raya.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamun menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Teoh agar tidak membuat kenyataan di media sosial sehingga kes ini selesai.

Hakim kemudiannya menetapkan 20 Julai depan bagi sebutan kes.

Teoh ditahan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mei lalu dan direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.– 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen