Tempatan Fest promosi jenama tempatan secara dalam talian


Aminah Farid

Pengasas Tempatan Fest Nasir Rashid memberitahu The Malaysian Insight, Tempatan Fest sebelum ini sering menjelajah ke seluruh negara, memperkenalkan beberapa pakaian jenama tempatan terpilih menerusi festival yang mampu menarik antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2020.

TEMPATAN Fest, sebuah syarikat pengurusan acara bagi menyokong jenama pakaian tempatan, kini mencari jalan lain untuk mempromosi produk dalam norma baharu.

Pengasasnya Nasir Rashid memberitahu The Malaysian Insight, Tempatan Fest sebelum ini sering menjelajah ke seluruh negara, memperkenalkan beberapa jenama tempatan terpilih menerusi festival yang mampu menarik antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung.

Selain jenama tempatan, jelajah Tempatan Fest juga menjadi platform bagi pemuzik dan kumpulan muzik membuat persembahan secara live untuk mempromosikan karya mereka.

Bagaimanapun, Tempatan Fest tidak akan akan menganjurkan festival pada tahun ini susulan pandemik Covid-19, kata Nasir.

Di bawah norma baharu, syarikat itu akan akan meneruskan operasi menerusi persembahan muzik dalam talian, kolaborasi dan penajaan, tambah beliau.

“Kami merancang untuk mengadakan persembahan live secara digital. Kalau dapat sambutan, baru kita adakan persembahan bertiket tetapi pada harga yang rendah antara RM18 hingga RM20,” katanya.

Bagi promosi produk pula, Tempatan Fest tidak sabar menantikan kolaborasi dan rekaan lebih kreatif dari pereka tempatan.

Menurut Nasir, jenama tempatan lebih mahal berbanding jenama antarabangsa terkenal kerana pereka dalam negara tidak menghasilkan produk dengan banyak dan sangat bergantung kepada seni mereka.

“Mereka tidak boleh letak harga yang rendah kerana tidak hasilkan produk secara besar-besaran seperti Uniqlo. Lagipun, jenama tempatan tidak hanya dihasilkan oleh usahawan tetapi juga artis.”

Tempatan Fest juga memperkenal dan mempromosi jenama tempatan menerusi Instagram.

Menurut pengasas Tempatan Fest Nasir Rashid, ketika ke Indonesia beliau melihat pasaran jenama tempatan di sana berkembang dengan baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2020.

Syarikat itu diasaskan Nasir pada 2013 selepas melihat jenama tempatan baharu tiada platform untuk tujuan promosi.

“Enam tahun lalu, saya tengok banyak jenama tempatan di Malaysia dan saya nampak pasaran tempatan ada potensi. Tetapi mereka hanya promosi jenama di media sosial.

“Jadi, kami dapat idea untuk kumpulkan jenam-jenama tempatan ini di bawah satu tempat di Grand Design Bazaar di Jalan Kia Peng. Tetapi oleh kerana agak tersorok, ia kurang dapat sambutan. Kemudian kami tukar kepada festival yang diberi nama Tempatan Fest,” kata Nasir.

“Festival kami pertama kali diadakan pada 2013 dan ia berjalan dengan baik.”

Bagaimanapun, jumlah pengunjung festival Tempatan Fest menurun beberapa tahun kebelakangan ini dan orang ramai juga kurang berminat untuk menyokong jenama tempatan.

“Sehinggalah 2017, saya tak tahu sama ada ekonomi perlahan atau kuasa membeli menurun, banyak jenama tempatan berhenti keluarkan produk.

“Antara 2016 dan 2017, ada beratus jenama tempatan tetapi perniagaan mereka tak mampu bertahan,” katanya.

Menurut Nasir, ketika ke Indonesia beliau melihat pasaran jenama tempatan di sana berkembang dengan baik.

“Rakyat Indonesia dan kerajaan mereka menyukai produk tempatan. Tidak seperti di sini, kerajaan nampak seperti tidak peduli.

“Cuba tanya kerajaan kalau mereka tahu tentang jenama tempatan kita. Mereka tak akan tahu. Adakah mereka pakai jenama tempatan? Tidak. Kerajaan tidak peduli.

“Budaya ini yang saya mahu ubah.” 

Baru-baru ini Nasir mengadakan kempen #belilokalmy yang bertujuan untuk menyokong perniagaan tempatan.

“Kempen ini bukan hanya menyokong jenama tempatan tetapi juga perniagaan, ekosistem ekonomi tempatan kita.

“Ekonomi sekarang tidak menentu, jadi adakah anda (pengguna) mahu membeli produk jenama tempatan atau antarabangsa?

“Saya fikir inilah masa yang tepat untuk menyokong perniagaan tempatan,” jelas Nasir. – 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen