Ulama lawan mungkar, bukan edar beras di rumah orang susah


Mohd Syazreen Abdullah

SEBELUM sibuk teropong iman seseorang, sebetulnya ulama mesti jujur menegakkan al-amin. Mereka harus berperanan. Satu-satunya tugas ialah dengan bersolidariti bersama mustadh fi al-ardh – kaum tertindas. Caranya, berani untuk bersikap dan tidak memihak kepada penguasa korup.

Ulama bekerja untuk kebajikan umat. Bukan hamba dan boneka penguasa. Mereka harus nampak relevan seiring dengan ruang masa dan waktu. Mereka mesti kritis menyuburkan pendebatan ilmu Islam yang luas dan kontekstual. Mereka bertanggungjawab menyampaikan amanah ilmu demi menajamkan pemikiran masyarakat.

Seperti apa disebut bahawa ulama harus jujur mempertahankan tradisi keilmuwannya, ulama harus ada dinamika. Mereka bertindak sebagai pengawal perubahan. Pada masa yang sama, memelihara tradisi – “custodion of change”, meminjam istilah daripada Qasim Zaman. Sifat ini mustahil terjadi melainkan ulama yang faham kerja dan peranannya yang sebenar.

Ringkas mudahnya ulama harus jujur bersikap dan berperanan menyampaikan ilmu sehingga masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi ketika menghadapi kezaliman di tengah kelas sosial.

Masyarakat mesti tercerah sehingga mampu melawan kebodohan pemikiran dan budaya.

Justeru, ilmu yang harus disampaikan kepada masyarakat adalah ilmu kesedaran berani melawan kemungkaran.

Dengan kata lain, ulama itu tempat duduknya adalah pada kelas sosial dan budaya. Dia tidak boleh memihak kepada mereka yang melakukan rasuah dan pengkhianatan terhadap hak rakyat. Sebaliknya, kerja ulama pada hari ini bukan sekadar mengeluarkan hukum dan membentangkan kad laporan kerja tetapi dia harus bersuara dalam perubahan.

Ulama bukan sekadar melaporkan bantuan terhadap golongan tertindas, tetapi harus ada sikap perlawanan mengubah penderitaan nasib kaum yang tertindas. Kerana sebuah perhatian yang naif tidak menjawab dan membantu penderitaan manusia – ulama sosok yang membawa perubahan.

Oleh itu, ulama tidak hanya berperanan memberi beras di pintu rumah orang susah. Walau perasaan kita rasa tenang sebentar kerana dapat membantu orang susah, namun ia tidak sedikit menyelesaikan masalah penderitaan.

Mengagihkan berjuta-juta tidak mengubah penderitaan melainkan dengan bersolidariti bersama orang-orang yang dihimpit kesusahan tersebut  sama ada dari segi ketidakadilan hak, kelas sosial, perkauman dan kemiskinan.

Bantuan mereka terhadap golongan susah ini mestilah disadur dengan sifat perlawanan. Kata lain ialah mengubah struktur kebobrokan ini melalui aksi perlawanan kelas.

Begitulah, selain menyampaikan ilmu, ulama harus berjuang membela nasib kelas sosial.

Fokus kerja nabi, bukan dunia

Ulama yang sebenar-benarnya takutkan kemungkaran di muka bumi ini. Mereka mengabdikan diri kepada Tuhan untuk berkata benar di hadapan kemungkaran. Mereka bukan hamba kepada hawa nafsu dunia.

Mereka mewarisi kerja nabi. Kerana itu mereka digelar warisshatul anbiya. Mereka menyambung kerja melawan ketidakadilan sosial dan perlawanan kelas.

Maka, mereka tidak boleh pasif di tengah kelas sosial.

Tidak cukup ada sifat keilmuan dan kesalehan akhlak, sebaliknya mereka harus menjawab segala tantangan yang datang. Termasuklah perkembangan kemodenan. Mereka mestilah cukup kompeten dalam melakukan -kerja keilmuan dan kemasyarakatan.

Sedangkan, pada hari ini ulama dilihat tidak kompeten, Mereka lembik dan mundur dalam memahami bahasa kemanusiaan. Mereka cenderung untuk tidak membantah tindakan penguasa yang mungkar.

Sekiranya mereka bermain dengan politik, bermakna mereka bukan dianggap ulama. Mereka sama seperti kita, yang layak menerima kritikan dan melakukan kesalahan. Namun, mereka tidak peduli dan tidak tahu malu.

Mereka umpama orang yang mabuk. Orang mabuk tidak akan mengaku dia sedang mabuk. Kerana itu mereka yang tidak tahu malu saja yang mengaku dirinya ulama di samping menghalalkan nafsu serakah yang galak merebut ketamakan kekuasaan.

Merekalah yang sendiri mencemarkan nama institusi lembaga ulama.

Sememangnya mereka yang mengaku ulama tetapi menuruti nafsu dunia tidak layak digelar ulama. Mereka ulama palsu yang sekadar menghambakan diri kepada dunia. Tergamak untuk menipu atas nama agama. Mengheret kisah-kisah di langit demi kepuasan batil mereka. Menjadi perisai kepada kebatilan penguasa.

Barangkali sebab inilah ramai yang marah dan mengkritik institusi ulama. Justeru, sering terjadinya nasib lembaga ulama yang selalu diserang di merata dunia sama ada dari kiri atau kanan disebabkan kegagalan mereka sendiri.

Gagal menyesuaikan diri dengan perubahan sosial; membeku dalam soal kelas budaya dan sosial. Gagal melaksanakan amanah perjuangan para nabi.

Nasihat al-Ghazali

Sekali lagi, hanya ulama dunia saja yang gamak bersekongkol dengan perasuah dan pengkhianat. Sebagaimaan kita gelarkan mereka seperti orang yang dalam kemabukan. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin banyak menempelak ciri ulama yang cenderung terhadap keduniaan. Mereka ini mabuk dibuai kekuasaan.

Dalam ihya disebutkan beberapa hadis. Bahawa berkata Umar: Yang paling saya takutkan kepada umat ini ialah orang munafik yang berilmu. Ditanyakan kepada Umar: Apakah orang berilmu yang munafik itu? Jawabnya berilmu di lidah, bodoh di hati dan perbuatan.

Dimuatkan juga kata al-Hassan: Siksaan bagi ulama yang cintakan dunia ini dengan mematikan hatinya. Kematian hatinya ialah mencari habuan dunia dengan amalan akhirat. Mereka disifatkan orang yang mengheret agama dalam tindakan batil mereka.

Kerana itu berkata Yahya bin Ma’az bahawa: Sesungguhnya hilangnya hikmah ilmu apabila yang dicari itu adalah dunia.

Berkata Said al-Musayyab apabila didatangi orang-orang berilmu atau ulama ini kepada penguasa maka mereka (ulama) adalah pencuri. Mereka ini diumpamakan seperti anjing yang terus menerus menjilat serakah hawa nafsu dengan lidahnya.

Maka, ulama hari ini seperti batu besar yang jatuh ke mulut sungai. Namun dia tidak menghalangi air mengalir ke tanam-tanaman. Dia umpama parit yang zahirnya seperti dicat tetapi di dalamnya berbau busuk. Begitu juga umpama kuburan yang zahirnya kelihatan bangunan batu bata yang nampak indah tetapi di dalamnya hanya tulang belulang orang mati. Inilah umpama ulama palsu yang menghambakan diri dengan dunia.

Demikian, Al-Ghazali menyebutkan ulama palsu ini ibarat sebuah tawanan syaitan yang sanggup memilih nafsu dunia ini berbanding akhirat.

Sebagaimana warta Nabi Daud dalam firman Tuhan menyebut: Bahawa orang yang berilmu atau ulama yang memilih dunia dengan mencintai hawa nafsu berbanding mencintai-Ku, maka Aku haramkan kelazatan dalam bermunajat kepada-Ku.

Hai Daud! Janganlah engkau tanyakan kepada-Ku orang yang berilmu yang mabuk dunia, maka dicegahkan engkau dari jalan kecintaan-Ku. Mereka itu lah penyamun-penyamun terhadap hamba-Ku – yang mematikan jalan-jalan menuju kelazatan beribadah.

Nasihat dan teguran al-Ghazali berakhir dengan pertanyaan: apakah mereka layak digelar ulama? – 13 Jun, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen