Bersatu mahu 50 kerusi, PAS diminta siap sedia PRU15, kata sumber


The Malaysian Insight

Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dikatakan mahu bertanding di 50 kerusi pada PRU15, sesuatu yang akan jadi isu penting dalam kerjasamanya dengan PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

BERSATU sudah menyuarakan hasrat mahu bertanding sehingga 50 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ada di Dewan Rakyat, ketika Putrajaya giat bersiap sedia untuk pilihan raya lebih awal tahun ini, kata beberapa sumber kepada The Malaysian Insight.

Hasrat itu dibincangkan dalam satu pertemuan antara pemimpin Bersatu dan PAS di Putrajaya pada 1 Jun lalu, kata beberapa sumber yang maklum mengenai pertemuan itu.

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang diminta bersiap sedia untuk pilihan raya lebih awal tahun ini,” kata seorang sumber.

“Dalam pertemuan itu, Bersatu beritahu hendak bertanding sampai 5o kerusi Parlimen.

“Tetapi PAS belum putuskan berapa kerusi yang ia hendak beri kepada Bersatu kerana beberapa kerusi mereka bertindih.”

Sumber parti memberitahu PAS hanya setuju jika Bersatu bertanding di kerusi yang disandang sekarang.

“Kerusi yang mana satu? Yang menang masa PRU14? Atau, kerusi yang ditokok oleh bekas Umno dan PKR?” kata sumber.

Pada masa ini, Bersatu mempunyai 33 ahli Parlimen selepas menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Rengam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Daripada jumlah itu, tujuh dimenangi di bawah tiket Pakatan Harapan, sementara 15 daripada bekas Umno dan 11 dari bekas PKR.

Tujuh kerusi asal Bersatu ialah Tambun, Titiwangsa, Kuala Pilah, Alor Gajah, Pagoh, Sri Gading dan Sungai Besar.

Susulan pertukaran kerajaan pada hujung Februari, Bersatu menambah 11 kerusi dari PKR: Nibong Tebal, Indera Mahkota, Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Segamat, Batu Pahat di Semenanjug Malaysia serta Ranau, Puncak Borneo, Saratok dan, terbaru minggu lalu, Lubok Antu, di Sabah dan Sarawak.

Blok terbesar 15 kerusi Bersatu adalah asal wakil rakyat Umno iaitu Tanah Merah, Jeli, Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Larut, Bagan Serai, Bukit Gantang, Sabak Bernam, Masjid Tanah dan Mersing di Semenanjung Malaysia serta Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran di Sabah.

Antara semua kerusi itu, beberapa kerusi sebelum ini pernah dimenangi oleh PAS seperti Tanah Merah, Jeli, Hulu Terengganu, Indera Mahkota, Bukit Gantang, dan Titiwangsa.

Hasrat Bersatu mahu 50 kerusi dikatakan dibincangkan pada pertemuan antara Muhyiddin Yassin dengan Presiden PAS Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

Pemimpin PAS yang dihubungi oleh The Malaysian Insight enggan mengesahkan pertemuan itu tetapi tidak juga menafikannya.

“Saya tidak boleh jawab,” kata seorang bekas pengarah strategi pilihan raya parti Islam itu, ketika ditanya mengenai pertemuan pemimpin Bersatu dan PAS pada awal bulan ini.

Beberapa hari selepas pertemuan pada 1 Jun itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu yakin parti-parti dalam gabungan PN sudah bersedia untuk memukmadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun dalam reaksi segera berkata pandangan tersebut hanya mewakili pendirian PAS dan bukannya pendirian rasmi PN.

Sementara itu, beberapa sumber Perikatan Nasional memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya lebih awal tahun ini di tengah pandemik Covid-19.

“Kerajaan tahu majoritinya tipis, hanya 115 kerusi.

“Selain boleh tumbang, susah untuk kerajaan berperanan dengan sewajarnya di Parlimen dengan majoriti tipis begitu. Itu sebabnya pimpinan atasan putuskan pilihan raya awal tahun ini,” kata seorang pegawai kanan di Putrajaya.

Katanya, Putrajaya sudah meminta dua badan bebas untuk menjalankan kaji selidik terhadap sentimen dan kehendak pengundi menjelang pilihan raya.

Dalam pada itu, akhbar The Straits Times di Singapura semalam melaporkan Muhyiddin mahu pilihan raya lebih awal tahun ini untuk menamatkan keraguan mengenai mandatnya ketika pentadbirannya dicap sebagai kerajaan pintu belakang tanpa majoriti selesa di Dewan Rakyat.

Laporan itu memetik sumber berkata Muhyiddin menjelaskan hasratnya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Jun. Beliau juga mengadakan beberapa pertemuan dengan ketua-ketua bahagian beberapa hari selepas itu.

Kerjasama Bersatu, Barisan Nasional yang diterajui Umno dan PAS akan teruji dengan perbincangan kerusi dipertandingkan pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

Majoriti Muhyiddin sehingga ini belum diuji selepas Dewan Rakyat bersidang hanya setengah hari pada 18 Mei lalu untuk pembukaan Parlimen dan mendengar titah diraja yang ditangguhkan perbahasannya.

Semasa sidang pembukaan itu, 114 ahli Parlimen ditempatkan di blok kerajaan. Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat bagaimanapun kemudian menjelaskan beliau masih bersama blok pembangkang.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar PKR untuk menyokong kerajaan Muhyiddin dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Alasannya, sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, beliau perlu menyokong kerajaan untuk mendapatkan dana bagi pembangunan.

Dengan sokongan Jugah, Muhyiddin dipercayai mempunyai tiga majoriti daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, selepas Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh yang letak jawatan timbalan menteri pada 4 Jun dilaporkan masih menyokong PN.

Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir pada 15 Julai 2023. – 13 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen