Tidak sabar berjemaah semula, kata pengerusi masjid


Zaim Ibrahim

Pengurusan Masjid Tok Lebai Hashim di Bukit Minyak telah menyediakan ruang untuk 40 jemaah di masjid itu bagi menunaikan Solat Jumaat. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

SEJAK dua hari lalu, pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya di Pulau Pinang, Omar Hassan sibuk menguruskan persiapan untuk membuka masjid lebih luas hari ini bagi solat Jumaat, selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan yang minggu ini masuk ke fasa pemulihan (PKPP).

Beliau dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid menyiapkan sabun pembasmi kuman dan menyediakan meja pendaftaran jemaah, selaras dengan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan.

Secara peribadi, Omar memberitahu The Malaysian Insight, beliau gembira dengan kelonggaran yang dibenarkan, yang akan membolehkan lebih ramai jemaah datang ke masjid.

“Dulu kita nak ajak orang ke masjid kadang-kadang susah juga tetapi sekarang orang yang tanya dan tidak sabar kembali ke masjid,” katanya, ketika ditemui di masjid itu semalam.

Jelas beliau, kalau sebelum ini solat Jumaat hanya terhad kepada tidak lebih 15 jemaah terdiri pegawai masjid dan surau, serta AJK kariah, mulai hari ini, jumlah jemaahnya dibenarkan sehingga 40 orang.

“Saya rasa teruja sebab jumlah jemaah semakin ramai. Kita akan tambah tapak solat untuk penjarakan sosial pada pagi esok (Jumaat).

Masjid Jamek Seberang Jaya menetapkan jarak antara jemaah dua meter kerana ruang dewan solat yang luas. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

“Untuk 40 jemaah, 15 orang terdiri daripada AJK. Selebihnya, kita minta 10 buah surau dibawah kariah kita untuk memberi nama tiga orang menyertai solat Jumaat.

“Nama-nama ini juga perlu bergilir setiap minggu supaya masing-masing ada peluang,” katanya.

Dalam pada itu, Omar juga memberitahu pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dipatuhi.

Pihak pengurusan masjid melantik seorang ahli kariah untuk mengawal jumlah jemaah yang hadir, katanya. Mereka juga akan memberi peringatan kepada jemaah supaya hadir di masjid sebelum jam 1 petang, sebelum pintu pagar masjid ditutup.

Pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya, Pulau Pinang, Omar Hassan.– Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

“Kita nak kawal supaya tak ramai orang. Di masjid ini juga ramai orang bekerja dan singgah untuk bersolat, sebab itu jam 1 petang kena tutup pagar,” ujarnya.

Tinjauan The Malaysian Insight ke beberapa masjid dan surau di sekitar Pulau Pinang mendapati rata-rata melakukan persiapan yang sama. Hampir semuanya juga memberi keutamaan kepada ahli kariah untuk menyertai 40 jemaah yang boleh menunaikai solat Jumaat.

Setiausaha Masjid Tok Lebai Hashim di Bukit Minyak, Zulkefli Mohd Zain berkata, segala SOP telah pun dipatuhi malah pihak masjid telah membuat penanda untuk jemaah menjaga jarak antara satu sama lain.

Bagi beliau, memastikan kebersihan dan penjarakan fizikal bukan sangat isu yang besar, berbanding menentukan 40 jemaah yang boleh hadir ke masjid.

Kerja-kerja disinfeksi dijalankan di surau di sebuah pusat membeli-belah di Seberang Jaya sebelum dibuka kepada orang awam. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

“Yang tak terpilih nanti marah pula, tanya kenapa dia tidak boleh solat bersama.

“Jadi kami terpaksa bertegas dengan setiap lapan zon dalam kariah ini untuk beri nama dan bergilir-gilir solat.

“Daripada 40 jemaah,15 orang adalah AJK masjid dan selebihnya daripada zon-zon itu.

“Kita pun ramai jemaah daripada pekerja kilang terdekat tetapi setakat ini, kami tidak benarkan lagi mereka hadir ke masjid,” jelasnya.

Pulau Pinang memberi kebenaran kepada 15 jemaah untuk solat Jumaat bermula pada 22 Mei lalu.

Kelonggaran kepada 40 jemaah mulai hari ini bagaimanapun terhad untuk solat Jumaat sahaja, sementara solat lima waktu yang lain ditetapkan seramai 15 orang, terdiri daripada pegawai dan AJK masjid, kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor.

Pembasmi kuman dan nota untuk rekod pengunjung disediakan di pintu masuk surau bagi memenuhi SOP yang ditetapkan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

Di bawah SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, warga emas berusia 70 tahun ke atas dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan solat di surau dan masjid.

Di Surau Taman Pauh Indah, di Permatang Pauh, setiausahanya, Saharuddin Abdullah berkata, kebanyakan AJK berusia 70 tahun ke atas dan golongan pekerja.

“Kalau kira AJK yang dibenarkan, jemaah kita sedikit sangat, jadi kita minta imam dan bilal bawa jemaah terdekat.

“Hanya satu pintu sahaja dibuka dan akan ada seorang sukarelawan jaga untuk mengira jumlah jemaah,” jelasnya.

Sementara itu, di surau pusat membeli belah Sunway Carnival Mall, hanya lapan orang sahaja dibenarkan masuk untuk bersolat manakala hanya dua orang sahaja dibolehkan mengambil wuduk pada satu-satu masa.

Tempat duduk di luar surau juga disediakan bagi orang awam yang menunggu giliran bersolat.

Pihak pengurusan turut mensyaratkan jemaah memberi nama, menggunakan sabun pembasmi kuman, dan diperiksa suhu badan sebelum masuk ke surau di pusat alat pengesan haba turut disediakan.

Semalam, Putrajaya menetapkan semua masjid dan surau di zon hijau jangkitan Covid-19 di Wilayah Persekutuan boleh dibuka untuk solat Jumaat dan solat jemaah bermula hari ini, terhad dengan kapasiti satu pertiga daripada saiz dewan solat.

Masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan juga dibolehkan untuk menganjurkan kuliah Subuh dan kuliah Maghrib, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Bagi negeri-negeri lain, ia tertakluk pada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama di negeri, katanya. – 12 Jun, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen