Masjid, surau di Wilayah Persekutuan dibuka semula esok, umum menteri


Zaim Ibrahim

SEMUA masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan dibuka untuk solat Jumaat dan solat jemaah bermula esok, dengan kapasiti satu pertiga daripada saiz dewan solat, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Ia bagaimanapun terhad bagi masjid dan surau yang terletak dalam zon hijau jangkitan Covid-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, katanya.

Kelonggaran ini dicadangkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada Selasa dan diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah perkenan bagi cadangan tersebut,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bagi negeri-negeri lain, ia tertakluk pada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama di negeri, jelas beliau.

Selain solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah, Yang di-Pertuan Agong juga setuju kuliah agama selepas solat Maghrib dan Subuh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat.

“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider e-hailing,” katanya.

Masjid juga dibuka kepada jemaah wanita dengan syarat datang bersama muhrim, tambahnya.

Pembukaan aktiviti masjid, surau Jumaat dan surau secara berperingkat ini bagaimanapun dimulakan bagi warganegara terlebih dahulu, kata Zulkifli. – 11 Jun, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen