Pulau Pinang tak pernah tolak PKPP, kata ketua menteri


Zaim Ibrahim

Menteri Kluster Keselamatan Ismail Sabri Yaacob membuat kenyataan salah dengan mendakwa Pulau Pinang tidak mahu mengikut PKPP, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak pernah menolak pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan oleh kerajaan pusat, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow.

Katanya, Menteri Kluster Keselamatan Ismail Sabri Yaacob membuat kenyataan salah dengan mendakwa negeri itu tidak mahu mengikut PKPP.

Jelasnya, jawatankuasa keselamatan kerajaan negeri hanya mensyaratkan supaya lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu seiring dengan pemulihan sektor ekonomi dan sosial.

Ia dilaksana dengan menyesuaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan keperluan di negeri itu, katanya.

“Realitinya, tuduhan bahawa Pulau Pinang tidak mahu mengikut atau melaksanakan PKPP adalah terbukti salah.

“Berdasarkan minit mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bertarikh 2 Jun 2020, mesyuarat telah bersetuju bahawa PKP masih boleh dilanjutkan tetapi perlu seiring dengan pemulihan sosial (dan) ekonomi dan ia tertakluk kepada keputusan kerajaan Persekutuan.

“Berasaskan prinsip ini, agensi-agensi negeri diarah supaya menyediakan SOP-SOP berkaitan yang ketat sebagai persiapan kemungkinan lebih banyak sektor sosial (dan) ekonomi dibuka kelak,” katanya.

Chow menjelaskan, walaupun SOP dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, ia akan disesuaikan dan diteliti oleh setiap negeri.

Katanya, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang selama ini tepat dengan pendekatan beransur-ansur mengikut fasa yang dilakukan kerajaan persekutuan dalam strategi pemulihan berperingkat.

“Malah, apa yang dipraktik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga ke hari ini tidak pernah melanggari akta atau undang-undang diperuntukan oleh kerajaan pusat.

“Justeru, dakwaan menteri kanan pertahanan bahawa negeri Pulau Pinang menolak pematuhan PKPP adalah tidak berasas sama sekali,” jelas beliau.

Beliau turut sekali lagi menegaskan, negeri Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP seperti mana ditetapkan kerajaan pusat.

“Mesyuarat JKKN juga bersetuju bahawa lain-lain sektor yang di dalam senarai kategori dilarang sebelum ini akan dibuka secara berfasa sebagaimana bakal diumumkan oleh Kerajaan Pusat.

Tambahnya, JKKN akan mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri berhubung pelaksanaan tujuh teras strategi PKPP serta Fasa Normalisai yang diumumkan oleh perdana menteri.

“Ia akan dilaksanakan di peringkat negeri secara terselaras serta bersepadu,” tambahnya.

Beliau mengulas amaran oleh Ismail Sabri untuk mengenakan tindakan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang jika enggan melaksana PKPP yang diumumkan kerajaan persekutuan.

Tegasnya, polis mempunyai kuasa untuk bertindak jika kerajaan negeri terus berdegil.

Ia ekoran kenyataan Chow untuk meneruskan PKPB sehingga keputusan mengenainya dibuat JKKN.

PKPB, yang merupakan PKP peringkat kelima berakhir pada hari ini selepas penguatkuasaan selama 84 hari sejak 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

PKPP yang berkuatkuasa esok sehingga 31 Ogos memberi kelonggaran kepada hampir semua sektor untuk beroperasi dan membatalkan kawalan sempadan negeri.

Kawalan masuk sempadan negara masih diperketat dengan kelonggaran kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, diplomat, pegawai dagang dan peserta Malaysia Rumah Kedua.

Kebenaran keluar negara pula bergantung kepada kelulusan Jabatan Imigresen, termasuk bagi pelajar yang mahu kembali ke kampus di luar negara. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen