Ismail Sabri beri amaran supaya Pulau Pinang ikut PKPP


Alfian Z.M. Tahir

Pulau Pinang perlu patuh kepada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dibuat Putrajaya bermula 10 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

POLIS mungkin mengambil tindakan ke atas kerajaan Pulau Pinang sekiranya negeri ditadbir DAP itu enggan mengikut pelan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan bermula 10 Jun ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata Pulau Pinang tidak ada pilihan selain patuh kepada keputusan dibuat kerajaan persekutuan.

“Saya tak faham mengapa Pulau Pinang perlu bermesyuarat untuk membuat keputusan dalam hal ini. Perintah kawalan pergerakan bersyarat akan tamat pada 10 Jun dan pada hari itu negara akan menggunakan perintah kawalan pergerakan pemulihan atau PKPP.

“Jadi, apa peraturan yang ketua menteri mahu ikut? Akan ada hanya satu peraturan iaitu PKPP. Dia tidak ada pilihan selain ikut dan polis boleh bertindak jika mereka enggan ikut undang-undang,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau sedar tentang PKPP diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetapi akan membuat keputusan mengenainya minggu depan.

Tambah Chow lagi, negeri itu akan meneruskan PKPB sehingga keputusan mengenainya dibuat Jawatankuasa Khas Keselamatan Pulau Pinang dalam mesyuarat dijadualkan pada Rabu.

“Justeru itu, pihak Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang pada hari Rabu (10 Jun) bagi meneliti keputusan serta ketetapan PKPP dan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas mesyuarat berkaitan,” katanya.

Menurutnya lagi, pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan agama akan dibuat beransur-ansur dengan matlamat pembudayaan kelaziman baharu pasca Covid-19.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan PKPP akan menggantikan PKPB bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos, yang membolehkan pelbagai sekatan ekonomi dan sosial dibatalkan tetapi pembukaan semula sektor perlu mengikut SOP dikeluarkan kerajaan. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen