Pembangkang, NGO tagih janji Muhyiddin isytihar harta


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pernah berjanji untuk isytihar harta bersama semua menteri Kabinet PN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

PEMIMPIN pembangkang dan NGO antirasuah menagih janji Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytihar harta bersama semua menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Menurut mereka, pengisytiharan harta yang dijanjikan Muhyiddin untuk dilakukan dalam masa sebulan selepas membentuk kerajaan itu penting supaya rakyat mampu menilai ketelusan PN.

Ia juga penting untuk membuktikan kerajaan PN bebas rasuah, kata pemimpin pembangkang dan NGO ini yang kecewa kerana sudah tiga bulan berlalu sejak Muhyiddin menyatakan janji tersebut.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata tiada sebarang perkembangan mengenai hal itu sedangkan Muhyiddin sendiri memberi jaminan, proses itu akan dilakukan dalam masa sebulan pada Mac lalu.

“Keengganan untuk isytihar harta oleh anggota Parlimen dan anggota Kabinet bermaksud Perikatan Nasional menolak ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.

“Kalau bersih, tentunya berani (isytihar harta). (Jika) tak berani, pasti ada yang hendak di selindungi,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ia juga menunjukkan Muhyiddin tidak dapat mengawal menterinya sekiranya tidak mampu mengarahkan pengisytiharan harta tersebut.

“Sekiranya selepas tiga bulan masih belum diisytiharkan, ia adalah petunjuk Muhyiddin  tidak mempunyai sokongan dan kawalan ke atas anggota kabinet serta ahli parlimen PN.

“Mungkin mereka juga tidak menghormati Muhyiddin,” tambah Adun Pasir Pinji itu lagi.

Sementara itu, NGO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) pula hairan kerana portal pengisytiharan harta  (https://mydeclaration.sprm.gov.my/) yang diasaskan Pakatan Harapan sejak 2018 tidak boleh diakses.

Semakan di laman kelolaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mendapati ia ditutup bagi tujuan penyelenggaraan.

Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel berkata ia menimbulkan persoalan mengenai komitmen Muhyiddin untuk membolehkan kesemua menteri mengisytiharkan aset.

“Ketelusan pengisytiharan aset di kalangan menteri Kabinet bertujuan membolehkan pemerhatian orang ramai terhadap kekayaan mereka.

“Ia semakin mustahak apabila kerajaan PN menguruskan berbilion dana daripada sumber awam untuk menolong rakyat yang terkesan akibat wabak  Covid-19 tanpa dibawa ke Parlimen,” tambahnya.

Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan menteri dan timbalan menteri diberi masa sebulan untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Beliau berkata kerajaannya masih tegas untuk membasmi rasuah di negara ini melalui cara pengistiharan harta kepada SPRM.

Langkah itu dipelopori PH yang mewajibkan semua menteri dan timbalan menteri serta pasangan mereka, setiausaha politik dan semua ahli Parlimen serta wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta.

Ia dilaksana selepas PH membentuk kerajaan selepas menang pilihan raya umum 2018 dengan membolehkan rakyat memeriksa nilai aset ahli Parlimen

Langkah itu bagaimanapun ditolak ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS pada waktu itu yang menolak keras usaha pengisytiharan harta.

Mengulas perkembangan itu, seorang penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isu pengisytiharan harta tersebut tidak dianggap perkara penting oleh rakyat.

Pengkaji dari Universiti Utara Malaysia itu berpendapat ia bukan faktor utama yang menjadi ukuran oleh pengundi dalam pilihan raya kelak.

“Sokongan rakyat terhadap kerajaan boleh terjejas sekiranya tidak isytihar dianggap ianya isu utama.

“Dalam pilihan raya, satu isu sebegini tidak dijadikan pertimbangan para pengundi. Ia memerlukan isu lebih besar untuk mengalih perhatian rakyat dan menolak PN,” jelas beliau. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen