Muhyiddin beri masa sebulan untuk isytihar harta


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bertegas untuk membasmi rasuah di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2020.

MENTERI dan timbalan mereka ada masa sebulan untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya memberitahu Kabinet untuk mengisytiharkan harta mereka dalam masa sebulan. Pengisytiharan itu akan diserahkan kepada SPRM,” katanya sele[as mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaannya masih tegas untuk membasmi rasuah di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan meneruskan sebahagian daripada amalan yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.  

PH merupakan kerajaan pertama yang memberi mandat bahawa semua menteri dan timbalan menteri serta pasangan mereka, setiausaha politik dan semua ahli Parlimen serta wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM selepas memenangi pilihan raya pada 2018.

Senarai ini boleh dilihat oleh orang awam di sini.

Walaupun Parlimen meluluskan usul untuk semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka, ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan PAS enggan berbuat demikian.

Timbalan Presiden PAS dan Menteri Alam Sekitar yang baru dilantik Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa pengisytiharaan harta bertentangan dengan ajaran Islam. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen