Dulu jadi 'hantu', sekarang kerja pasar basah


Zainal Rashid Ahmad

FARA Rashid lulusan Diploma Pengurusan Pelancongan kolej swasta berdekatan Taman Shamelin, Cheras. Sejak semester pertama, gadis berusia 21 tahun kelahiran Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur  β€“ bekerja secara sambilan setiap hujung minggu bagi menampung biaya pembelajaran.

Selama dua tahun sejak Februari 2018, Fara Rashid bekerja sebagai pelayan majlis jamuan makan malam di hotel-hotel lima bintang sekitar Lembah Kelang.

“Dulu tiap Sabtu dan Ahad jadual kerja sangat padat dengan upah sekitar RM80 hingga RM100 sehari. Lapan hari sebulan kerja pelayan majlis jamuan dapat gaji RM800 sebulan,” kata Fara.

Selain bekerja mencari wang saku sebagai pelayan, Fara juga mencari wang tambahan menjadi “hantu” di teman tema air di Bandar Sunway.

“Dua atau tiga kali seminggu, saya jadi pontianak di rumah hantu taman tema untuk hiburkan pengunjung,” katanya.

Dengan gaji RM100 setiap kali bekerja antara enam ke lapan jam sehari sebagai pontianak rumah hantu, Fara menerima upah sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Begitu cara Fara mencari wang sejak belajar di kolej. Setelah tamat belajar pada 2019 dan gagal mendapat pekerjaan, gadis ini meneruskan jadual kerja sambilannya.

“Susah nak dapat kerja tetap walaupun setiap bulan saya memohon pelbagai jawatan yang diiklankan,” katanya.

Apa pun gadis ini tabah. Dia perlu bekerja untuk menyara diri, adik-adik yang masih bersekolah dan membantu ibunya yang sudah bercerai.

“Sekarang sudah tiga bulan tidak bekerja,” kata Fara.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac dan PKP Bersyarat bermula 5 Mei lalu, industri perhotelan mengalami kemeruduman perniagaan.

“Hotel tidak dibenarkan menganjur atau menerima tempahan majlis keramaian dan akibatnya, pekerja sambilan langsung tidak diperlukan,” katanya.

Taman tema juga diarah tutup bagi mengawal jangkitan Covid-19.

“Dua kerja sambilan lesap sekelip mata. Saya kehilangan pendapatan dan tidak mempunyai wang simpanan untuk menyara diri dan membantu keluarga,” katanya.

Dari taman tema ke pasar basah

Apabila tiga pasar raya utama di sekitar Cheras menawarkan jawatan kosong sebagai juruwang dan pelayan pasar basah, Fara bersama tiga rakannya berbaris mendapatkan borang permohonan.

“Kami lulus temuduga awal dan akan dipanggil untuk temuduga akhir. Sekiranya diterima kami akan mula bekerja pada Julai,” katanya.

Bagi Fara, sekalipun diterima dan ditempatkan di bahagian pasar basah, ia peluang terbaik.

“Saya okay untuk bergelumang dengan hanyir ikan dan sayur daripada menganggur,” katanya.

Fara bersama tiga rakannya menganggap gaji RM1,300 sebulan yang ditawarkan semua pasar raya di Cheras sebagai berbaloi.

“Kami berharap ada peluang kerja lebih masa bagi mendapatkan lebih pendapatan,” katanya.

Sebagai lulus bidang pelancongan, Fara sedar sukar baginya mendapatkan pekerjaan berdasarkan kelulusannya, memandangkan sektor itu kini sudah lumpuh sama sekali.

“Ribuan orang dalam industri pelancongan kehilangan kerja. Buat masa ini, bekerja di pasar basah adalah pilihan terbaik,” kata Fara.

Untuk gadis yang terpaksa bertarung hidup mencari nasi dan lauk dalam pinggan, Fara tidak peduli pada bau hanyir dan kerja berat di bahagian pasar basah.

Ego diri dan kebanggaan terhadap diploma yang dimiliki tidak pernah menjadi kekangan.

“Pekerjaan ini penting untuk perkara paling asas, keluarga saya perlu makan,” katanya. – 7 Jun 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen