Dr Mahathir tak berhajat jadi PM sekali lagi


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berhajat untuk jadi perdana menteri sekali lagi jika pilihan raya baharu diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Jun, 2020.

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak berhajat untuk jadi perdana menteri sekali lagi jika pilihan raya baharu diadakan.

“Saya tidak tawarkan diri (sebagai calon perdana menteri), tetapi saya melihat perkara-perkara ini sebagai tanggungjawab kepada negara, bukan tanggungjawab kepada diri sendiri,” kata bekas perdana menteri berusia 94 tahun itu pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Saya tak berminat dengan duit kerana saya rasa sebagai menteri kami dibayar lebih dari sepatutnya. Saya dibayar gaji RM20,000 (sebulan) dan saya tidak sesen pun saya belanjakan kerana semuanya kerajaan beri. Hendak apa lagi?

“Saya tidak berminat dengan kepuasan sendiri, tetapi jika saya dapat memberi perkhidmatan dan orang berpendapat saya boleh beri, saya sentiasa ada.

“Tetapi tidak lama. Saya sudah berusia 94 tahun, berapa bulan lagi saya ada?” katanya.

Spekulasi bahawa pilihan raya baharu akan diadakan muncul ekoran ketidakstabilan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata mendapat sokongan 114 daripada 222 ahli Parlimen, tetapi majoriti itu diragui selepas Shahruddin Md Salleh meletak jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya semalam.

Seorang lagi yang disebut-sebut akan meletak jawatan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof. Bagaimanapun, sejam sebelum Dr Mahathir mengadakan sidang media hari ini, Redzuan mengumumkan beliau kekal menyokong PN dan tidak akan letak jawatan dalam Kabinet.

PN yang terdiri daripada Bersatu, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak akan tumbang jika hilang sokongan hanya tiga ahli Parlimen.

Dr Mahathir pada sidang media petang tadi berkata PN sudah mula menyalahgunakan kuasa untuk kekal sebagai kerajaan.

“Walaupun baru tiga bulan memegang kuasa, mereka sudah menyalahgunakan kuasa dengan menawarkan jawatan dan kesusukan supaya mendapat sokongan.

“Ramai yang dilantik kerana mahu memberi rasuah secara tidak langsung. Malangnya, ramai yang kalah dengan tawaran yang diberikan.

“Pakatan Harapan membersihkan banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi mereka (lantikan PH) dipecat dan digantikan dengan ahli politik,” jelas Dr Mahathir, merujuk kepada ahli-ahli politik yang dilantik untuk mengetuai GLC.  – 5 Jun, 2020.       

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen