Muhyiddin tekad mahu kerjasama dengan Umno-PAS berjalan, kata Marzuki


Zaim Ibrahim

Muhyiddin Yassin kini bertekad menghapuskan segala halangan yang boleh menghalang kerjasama Bersatu dengan Umno dan PAS, kata Marzuki Yahya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin sedang mengambil segala langkah untuk memastikan kerjasama partinya dengan Umno dan PAS berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak khususnya dari dalam parti, kata Marzuki Yahya.

Itu sebabnya beliau mengambil tindakan terhadap mereka yang bersuara menentang kerjasama tersebut, kata Marzuki, mengulas pemecatan beliau daripada jawatan ketua Badan Pimpinan Negeri Pulau Pinang, minggu ini.

“Ini (pemecatannya) keputusan untuk kepentingan diri kerana saya tidak sehaluan dengan presiden Bersatu.

“Siapa yang tak bersama dengan presiden diambil tindakan termasuk mereka yang sama-sama mengasaskan parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Marzuki merujuk kepada pelucutan jawatan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sedangkan beliau antara tujuh ahli pengasas parti.

Minggu lalu, Bersatu mengumumkan lima ahli Parlimennya terlucut keahlian mereka kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional sebaliknya duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Antara lima ahli Parlimen itu ialah tiga pengasas parti iaitu Dr Mahathir Mohamad (pengerusi), Mukhriz Mahathir (timbalan presiden) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (ketua pemuda).

“Tindakan ini lebih kepada, supaya tiada penentangan daripada pimpinan tertinggi Bersatu yang enggan kerjasama dengan Umno.

“Ini usaha Presiden (Muhyiddin) menjadikan kerjasama Bersatu-Umno rancak berjalan,” tambah Marzuki, yang turut mendakwa beliau masih setiausaha agung Bersatu daripada kem Dr Mahathir.

Tindakan presiden Bersatu terhadap pimpinan kanan parti yang menentangnya hanyalah untuk memastikan keputusan politik yang beliau ambil tidak diganggu, kata Marzuki Yahya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

Berkenaan kedudukannya yang kini bukan lagi ketua parti negeri, Marzuki menegaskan beliau tidak perlu mempertahankan dirinya kerana tindakan itu sama sekali tidak mengubah pendirian politiknya.

“Saya tak perlu lawan (dengan tindakan Muhyiddin). 

“Kalau nak berhentikan kerana lihat saya tidak sehaluan presiden, saya tetap dengan pendirian tidak bersama dengan Presiden dan tidak bekerjasama dengan Umno dan PAS,” kata beliau.

Pemecatan Marzuki dan Akramsyah berkuat kuasa serta merta, kata Muhyiddin dalam surat berasingan kepada mereka yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat bertarikh 2 Jun itu tidak menyebut kedudukan mereka sebagai ahli parti.

Muhyiddin juga menandatangani surat itu sebagai pemangku pengerusi, ketika Dr Mahathir mempertahankan beliau masih lagi pengerusi parti yang sah.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen