Sultan Johor sedia bubar DUN


SULTAN Johor sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekiranya wakil rakyat negeri itu terus berebut kuasa, ketika ada laporan mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk tidak sampai 100 hari lalu kini dalam keadaan goyang.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda sedia mengambil langkah itu demi kepentingan rakyat dan negeri, seperti sumpahnya menjaga kedua-duanya pada setiap masa.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta,” titah baginda dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Perkara 23(2) Undang-Undang Tubuh Negeri Johor menyebut Sultan Johor mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN. Peruntukan itu tidak menyebut kuasa tersebut perlu dilaksanakan dengan nasihat menteri besar.

Perkara 7(1) bagaimanapun menyebut dalam menjalankan tugasnya mengikut undang-undang tubuh negeri, Sultan hendaklah bertindak atas nasihat majlis eksekutif negeri.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” tambah baginda.

PN kini menguasai 29 daripada 56 kerusi di DUN Johor. Daripada jumlah itu, 14 kerusi diwakili oleh Umno, 11 Bersatu, 2 MIC dan 1 PAS. Seorang Adun bebas menyokong PN.

Pakatan Harapan (PH) yang tumbang susulan pertukaran kerajaan di Putrajaya mempunyai 27 kerusi, terdiri daripada 14 DAP, 9 Amanah, dan 4 PKR. 

Sultan Johor bertitah baginda kecewa dengan kemelut politik yang berterusan di negeri itu, hampir 100 hari selepas PN mengambil alih pentadbiran daripada PH.

Baginda menyifatkan kemelut politik itu melibatkan “pemimpin yang gila kuasa”, yang terus mahu merebut jawatan demi kepentingan sendiri.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan,” titah baginda.

Dalam kenyataannya, Sultan Iskandar juga memetik sepotong hadis mengenai pemimpin, iaitu bukan untuk mereka yang meminta-minta dan tergila-gilakan jawatan.

Malaysiakini kelmarin memetik sumber PN berkata kerajaan negeri Johor dalam keadaan tidak menentu dan boleh bertukar sekali lagi sekiranya ada Adun Bersatu menarik sokongan.

Sumber itu memberi alasan perselisihan faham antara Bersatu dan Umno yang menuntut hak masing-masing.

Antara isu utama ialah Bersatu yang dikatakan tidak puas hati dengan jawatan menteri besar yang jatuh kepada Umno selepas pertukaran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Bersatu Johor dipetik oleh Sinar Harian menafikan dakwaan ada dalam kalangan wakil rakyatnya mahu melompat parti meninggalkan PN. – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen