DBKL beku lesen baharu jual arak


Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen – Gambar AFP, 2 Jun, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung pengeluaran lesen baharu penjualan arak berkuat kuasa serta merta, ketika insiden kemalangan maut akibat pemandu mabuk kembali jadi perhatian umum.

“Dimaklumkan bahawa semua permohonan baharu lesen minuman keras adalah dibekukan serta merta.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen,” kata pemberitahuan DBKL yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Pemberitahuan ini dikeluarkan selepas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam mencadangkan kepada kerajaan agar lesen berkenaan dibekukan sementara pihak berkuasa menyemak undang-undang dan mengeluarkan garis panduan baharu.

“Dengan berlakunya kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, adalah wajar pengeluaran lesen baharu menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan. 

“Lesen premis PBT perlu diperketatkan,” katanya di Twitter, semalam.

Pembekuan itu juga dibuat ketika akhbar hari ini menyiarkan iklan dua muka penuh notis permohonan untuk menjual arak oleh sebuah rangkaian kedai runcit di Kuala Lumpur.

Notis itu disiarkan bagi tujuan makluman umum untuk bantahan kepada pihak DBKL.

Semalam, seorang penghantar makanan Mohamed Zaili Mohamed, 44, meninggal dunia dilanggar pemandu kereta yang didakwa mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar di Kuala Lumpur.

Pemandu berkenaan, Khor Yong Zhang, 21, mengaku tidak bersalah ketika dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di mahkamah yang sama semalam dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun, lapor Bernama.

Semalam juga, seorang peraih ikan Teoh Kian Peng, 42, didakwa di Mahkamah Majistret di Kuantan atau tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan lain.

Pemandu kereta yang dirempuh Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian pada 25 Mei lalu.

Sebelum itu, seorang lelaki yang dipercayai mabuk memandu dalam keadaan melulu di sebuah tapak gerai di Bandar Sentosa, Hulu Selangor, menyebabkan lima orang cedera.

Awal Mei lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pula maut dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk. – 2 Jun 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen