Bajet Johor 2018 janji lapok, kata DAP


Ikhwan Zulkaflee

Bajet Johor 2018 yang dikemukakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor hanyalah janji lapok pilihan raya yang sudah diulang banyak kali sebelum pilihan raya umum lepas lagi, kata wakil rakyat DAP.. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2017.

BAJET Johor 2018 yang dikemukakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor hanyalah janji lapok pilihan raya yang sudah diulang banyak kali sebelum pilihan raya umum lepas lagi, kata wakil rakyat DAP.

Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berkata, antara intipati Bajet Johor 2018 termasuklah pembinaan Hospital Pasir Gudang dan projek naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang, yang didakwanya telah lama dijanjikan kepada rakyat.

Menurutnya, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin sendiri telah mencadangkan pembinaan hospital tersebut sejak 2011.

Liow berkata pengganti Khaled, Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) juga pernah mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk Fasa 1 pembinaan Hospital Pasir Gudang pada November 2013.

Menurut Liow, Normala juga pernah mengumumkan buat kali kedua bahawa pembinaan hospital itu telah diluluskan dan projek pembinaan akan bermula pada 2016 dan dijangka akan mengambil masa tiga tahun untuk siap.

Pembinaan hospital itu juga pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam Bajet 2016.

“Dan sekali lagi menteri besar mengumumkan isu pembinaan Hospital Pasir Gudang dalam Bajet (Johor) 2018,” katanya sambil menambah status tanah projek tersebut juga masih belum ditukar.

Liow berkata demikian ketika perbahasan Bajet Johor 2018 di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.

“Pembinaan hospital adalah keperluan rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat. Jangan jadikan (pembinaan hospital) demi Barisan Nasional (BN) dan untuk BN,” katanya lagi.

Liow turut membangkitkan isu projek penaiktarafan Lebuhraya Pasir Gudang yang sudah bermula sejak 2012, namun hanya Fasa 1 sahaja yang sempat siap.

Fasa 1 projek itu sepanjang 7.7 kilometer yang menelan kos RM164 juta.

Projek penaiktarafan itu akan menambahkan jumlah lorong Lebuhraya Pasir Gudang kepada enam lorong.

“Projek Fasa 2A yang bermula dari Mac 2016 dijangka siap pada September 2018. Sudah tentu Fasa 1 dan Fasa 2A yang sepanjang 16KM mengambil masa enam tahun.

“Bagaimana pula bagi Fasa 2B (sepanjang 4KM dari persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang) dan Fasa 3 (sepanjang 7KM dari persimpangan Perling ke Perimpangan Kangkar Tebrau)? Bila nak mula kerja dan bila nak siap?”

Liow menegaskan bahawa Lebuhraya Pasir Gudang sangat penting buat Johor Baru memandangkan kesesakan lalu lintas sekarang ini.

“Pemandu menghadapi kesesakan lalu lintas setiap hari. Pihak kerajaan perlulah menunjukkan iltizam politik untuk melaksanakan projek ini dan siap dalam masa yang singkat. Bukannya ambil masa 10 tahun pun tidak dapat siapkan (projek) 26.7KM ini,” katanya. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen