Usaha dapatkan sokongan untuk cabar Muhyiddin masih dalam proses, kata Anwar 


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata agenda pembaharuan dan kebaikan kepada rakyat dan negara masih menjadi keutamaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

USAHA pembangkang untuk mendapatkan sokongan 129 ahli Parlimen dalam undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih diteruskan, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini.

“Parti ini berteraskan ‘reform’, bukan soal pengakuan 129, 130 kerusi (di Parlimen).

“Ini kita sedang bincang, ini masih dalam proses,” kata presiden PKR di Facebook hari ini. 

Beliau berkata, agenda pembaharuan dan kebaikan kepada rakyat dan negara masih menjadi keutamaan. 

“Yang penting bukan soal nombor, bukan soal kuasa, kita dah banyak kali berkuasa, pergi balik, pergi balik rakyat juga jahanam…yang penting mengikat kita ke arah agenda kebaikan. 

“Dalam keghairahan parti-parti politik meraih kuasa, rakyat akan terus menjadi mangsanya,” tambahnya yang juga ahli Parlimen Port Dickson. 

Beliau juga berkata, sekiranya mahukan kuasa, beliau boleh menyertai kerajaan Perikatan Nasional dan menerima jawatan yang ditawarkan. 

Awal minggu ini timbul spekulasi daripada beberapa blogger politik bahawa pembangkag teah mendaoat sokongan 129 daripada 222 ahli Parlimen untuk menjatuhkan semula kerajaan Muhyiddin.

Sejak beberapa minggu lalu, presiden Bersatu yang menjatuhkan Dr Mahathir pada Februari lalu selepas merancang dengan Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan bekas pemimpin PKR, telah mengukuhkan sokongannya dengan melantik ahli Parlimen Perikatan ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen