Anwar dakwa Perikatan tawar jawatan PM, TPM


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, demi prinsip beliau akan tetap bersama Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa dirinya ditawarkan jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri sekiranya menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam sesi siaran langsung di Facebook, presiden PKR itu turut menolak spekulasi beliau mahukan jawatan menteri besar Selangor.

“Contoh kata dalam keadaan sekarang, kalau saya mahu saya boleh pilih untuk menyertai (PN) dan saya dapat jaminan kedudukan jauh lebih baik.

“Kalau tidak perdana menteri pun, timbalan perdana menteri itu ada jaminannya,” katanya hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu ketika membincangkan tindakan yang akan diambil PKR terhadap pembangkang dalam parti atau mereka yang tidak lagi sehaluan dengannya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan siapa yang memberi jaminan itu sekiranya menyertai gabungan kerajaan baharu.

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari lalu selepas Bersatu menarik diri daripada gabungan berkenaan dan menjalin kerjasama dengan Umno, PAS dan GPS untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen meninggalkan parti dan menyertai gabungan baharu itu.

Sejak itu Azmin telah mengkhianati Anwar dan hari ini Anwar mengatakan bahawa ahli Parlimen Gombak itu cuba menutup pengkhianatannya sendiri dengan mendakwa bahawa orang lain kehausan kuasa.

“Orang kata dia pengkhianat, dan kini ia berubah dan mengatakan ‘Anwar mahu jadi menteri besar Selangor’.

“Saya sudah berjumpa dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan memaklumkan kepada pimpinan parti untuk memberikan sokongan penuh kepada menteri besar untuk menjalankan tugasnya,” katanya pada sesi berkenaan. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen