Dilema Melayu, GLC atau pemimpin?


SAUDARA Megat Shahrizal Amir sudah luahkan kekecewaannya terhadap kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Atas isu yang sama, semalam saya terima satu lagi rencana tulisan seseorang yang perkenalkan dirinya sebagai Pak Li.

Rencananya bertajuk Dilema Melayu dan GLC, disiarkan oleh The Malaysian Insight semalam. Beliau banyak ungkit sejarah Dasar Ekonomi Baharu (DEB), affirmative action, penubuhan agensi perusahaan awam (PEA), dasar penswastaan yang gagal dan diganti dasar pengkorporatan yang lahirkan banyak GLC.

Pengurusan kebanyakan GLC ini pada mulanya berjalan baik dengan pelantikan tokoh-tokoh korporat yang dijelmakan dari kalangan penjawat awam, seperti Ani Arope, Rashdan Baba, Mohamed Basir Ahmad dan ramai lagi.

Kehebatan mereka membayangi kepimpinan lain-lain bentuk GLC yang sebelum itu gah di mata rakyat terutama di kalangan perbadanan pembangunan ekonomi negeri (SEDC), PEA, malah puluhan syarikat dikategorikan sebagai Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Belum pun bah, pasir sudah berubah

Pada hemat saya, kekecewaan orang Melayu bukan sangat kepada kepimpinan atau pengurusan GLC. Luahan itu adalah manifestasi keyakinan mereka terhadap kepimpinan negara yang masih volatile. Begitu juga keyakinan mereka, boleh berubah ke kiri atau ke kanan mengikut suasana semasa.

Dilema orang Melayu sebenarnya ialah terhadap kepimpinan negara yang pada awal Mac lepas amat mereka kagumi. Orang Melayu harapkan pengislahan tadbir urus yang jauh lebih Islamik dari apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini lakukan.

Apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri membaca doa memulakan ucapan, rakyat sanjung menggunung, macam-macam cerita indah mula terpapar. Apabila kerajaan dengan tegas dan cukup strategik tangani wabak Covid-19, rakyat bangga dan berikan sepenuh sokongan.

Berduyun-duyun para sukarelawan dari seluruh pelosok negara tampil mainkan peranan masing-masing, bantu tangani wabak ini. Dokumentari hasilan TV3 mengenainya sungguh menyentuh hati.

Apabila diumumkan bahawa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu hanya untuk Yang di-Pertuan Agong sampaikan titah ucapan tanpa ada ruang perbahasan mengenainya, atas alasan yang munasabah, rakyat berdiri teguh di belakang baginda dan kerajaan, sehinggakan pembangkang rasa mereka terpinggir.

Tapi apabila masuk bab ekonomi dan bertalu-talu berita paparkan satu demi satu kepimpinan politik diberi mandat terajui GLC, rakyat mula angkat kening. Sekalipun tidak semua mereka itu ditolak secara en bloc, penampilan beberapa orang antara mereka cukup meragukan dan membimbangkan.

Mulanya teguran orang Melayu berlapik, kini sudah secara terbuka dan lantang.

Dalam sekelip mata harapan mereka terhadap kepimpinan negara berubah dari jernih kepada pudar. Rata-rata mereka bertanggapan tatkala jentera perkhidmatan dan korporat kerajaan masih tersangat bolos, poros malah ada antaranya yang malfunction.

Pelantikan orang politik menerajui institusi penting ini untuk bangkitkan kekuatan ekonomi negara hadapi deep recession yang amat ganas dalam sejarah dunia ini, adalah satu tindakan yang tidak prihatin.

Badai ekonomi semakin ganas, pengangguran kian meningkat, bisnes semakin sukar, tapi orang Melayu lihat pemimpin mereka lebih sibuk untuk selamatkan dan utamakan sekutu mereka dalam politik.

Mulalah kedengaran kata-kata sinis, jika inilah yang mereka utamakan lebih baiklah kita berjumpa saja di PRU15. Pada hemat saya, untuk adakan PRU15 ketika kita bertarung hidup mati berdepan deep recession bukanlah opsyen terbaik.

Remedi

Beginilah, bagaimana kita ambil jalan tengah selesaikan kemelut ini. Pemimpin pun ada dilemanya sendiri. Kepentingan politik nak kena jaga. Kepekaan rakyat yang hendakkan kepimpinan GLC diterajui Melayu sehebat czar, pun nak kena dengar.

Hakikatnya, kita semua hendak mengharungi badai ekonomi yang amat ganas, maka sudah tiada masa hendak berpolitik. Malah ada banyak lagi krisis lain yang nak kita harungi bersama.

Apa kata kerajaan PN tubuhkan perbadanan konstituensi bagi setiap konstituensi Parlimen kepentingannya, bermula dengan konstituensi untuk tempatkan pemimpin yang masih belum “berjawatan” dalam Kabinet.

Perbadanan ini milik PN, bukan milik kerajaan, maka semuanya diletakkan terus di bawah pengerusi PN. Setiap perbadanan ini punyai minimum dua fungsi utama, iaitu perkhidmatan awam dan korporat.

Saya tak mahu huraikan perinciannya dalam rencana ini. Saya nak tengok dulu respons dari semua pihak terhadap ilham ini.

Jika perdana menteri setuju, mohon lepaskan, jika pun tak semua, setidak-tidaknya sebahagian darinya, daripada menerajui GLC. Ramai Melayu sehebat czar layak galas tugas dan amanah ini.

Pada masa yang sama, mana-mana CEO yang selama ini terbukti kurang menyerlah, gantikan mereka dengan Melayu yang lebih kompeten, bersih, cekap, amanah, hebat dan bermaruah, yang peka terhadap agenda Melayu dan tiga teras utama DEB.

Seterusnya, wajibkan semua mereka itu hadiri kursus induksi untuk direvolusikan minda mereka. Selepas itu, menjadi tugas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) pula untuk buat pemantauan dan penilaian berkala serta rating akan prestasi setiap satunya.

Kita sudah tiada masa. Berhentilah bertelagah dan segeralah berkompromi dalam menangani kemelut ini. Jika ada dalam kalangan pembaca punyai ilham lebih bernas, sila lontarkan.

Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. – 27 Mei, 2020.

* Dr Hasan Mad ialah setiausaha agung Majlis Perundingan Melayu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apa yg kamu merepek ni

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Abdullah abdul aziz · Ulasan