Dilema Melayu dan GLC


MAKIN kerap buka berita, makin marah, makin kecewa, makin sedih, makin hampa. Hampir tiap-tiap hari kita buka berita hanya untuk diberitahu seorang lagi ahli Parlimen dilantik menjadi pengerusi sesebuah GLC. Hampir kesemua GLC diketuai ahli Parlimen.

Marah dan sedih, kerana masyarakat masih lagi dalam dilema dan tidak tahu marah mana satu; marah kerana ahli-ahli Parlimen ini tidak layak untuk dilantik, atau marah kerana mereka ini tidak berkebolehan?

GLC, ringkasan untuk syarikat berkaitan kerajaan, bukanlah syarikat yang turun dari langit begitu saja.

Pada 1971, Dasar Ekonomi Baharu diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi. Pendekatan ini dikenali sebagai “affirmative action”, ekoran jurang keuntungan dan pendapatan antara kaum di Malaysia terlalu luas.

Lebih kurang sedekad kemudian, penglibatan Melayu di pimpinan syarikat-syarikat besar seolah-olah tidak berganjak.

Untuk memastikan objektif ini tercapai, kerajaan kemudiannya menwastakan beberapa agensi kerajaan supaya ia dapat melantik pengerusi daripada orang Melayu untuk memimpin GLC ini.

Rata-rata mereka ini adalah dari golongan teknokrat, berpengalaman dan paling penting, mereka ini berkebolehan. Maka tidak hairanlah jika GLC pada ketika itu diurus dengan baik, pengerusi-pengerusinya berkelayakan.

Sedih, kecewa dan hampa apabila baca berita, hampir kesemua kerusi GLC dibolot oleh orang politik. Walaupun mereka ini kebanyakannya profesional, ia tidak bermaksud mereka ini berkebolehan. 

Tinggi dan berat amanahnya untuk memikul jawatan pengerusi GLC. Mereka bukan saja akan dinilai dari segi pengurusan dan akhlak, mereka juga akan dihitung melalui keuntungan yang dapat dijana oleh GLC itu, yang kemudiannya menyumbang kepada kewangan negara.

Ahl Parlimen kita sudah pun bergaji besar, pencen pun depan mata. Kita juga dikejutkan baru-baru ini elaun mereka boleh mencecah puluhan ribu. Gaji tahunan Pengerusi GLC pun mencecah berjuta-juta setahun.

Ternyata Dasar Ekonomi Baharu tidak tercapai objektif dan niat asalnya.

Kerusi pengerusi GLC bagaikan “ganjaran”, seolah-olah dilantik ke dalam Kabinet kerajaan.

Saya hanya mampu berdoa mereka ini memikul tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, dan bukan sekadar memanas kerusi demi memenuhi dasar politik.

Berdoa saja yang saya mampu. – 26 Mei, 2020.

* Pak Li ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen