Alumni UiTM kecam kenyataan ‘slow learner’ Ku Nan


Yasmin Ramlan

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor semalam mendakwa kenyataannya mengenai UiTM diputar belit dan disalah tafsir pihak tertentu lalu dijadikan modal politik pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2017.

ALUMNI Universiti Teknologi Mara (UiTM) termasuk menteri daripada Umno mengecam Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menggelar universiti itu sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran.

Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani mempersoalkan apa definisi Tengku Adnan terhadap “slow learner”.

“Apa definisi ‘slow learner’? Saya lulusan ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun) dalam setahun setengah selepas menamatkan Diploma Perakaunan di ITM (Institut Teknologi Mara).

“Saya memilih untuk masuk ke ITM pada masa itu kerana ia menyediakan peluang untuk kelayakan profesional saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) Mohd Zaini Hassan dalam laman Facebook semalam menyenaraikan nama individu berpengaruh di Malaysia serta menteri yang merupakan alumni universiti itu sebagai membalas kenyataan Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno itu.

“Wahai Dato Sri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan)..... ‘a slow learner’?

“Sila tambah nama (alumni UiTM) lagi (pada senarai),” katanya.

Selain Johari dalam senarai itu, antara nama lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said dan Nancy Shukri; Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman.

Antara nama lain ialah Pengerusi AirAsia Kamarudin Meranun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Aminar Rashid Salleh dan Pengerusi DRB-Hicom Dr Ahmad Khalil Jamil. Penasihat komunikasi Ahmad Farid Ridzuan juga alumni UiTM.

Tengku Adnan bagaimanapun semalam mendakwa kenyataannya diputar belit dan disalah tafsir pihak tertentu lalu dijadikan modal politik pembangkang.

Katanya, beliau hanya memberi penjelasan bagaimana UiTM ditubuhkan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar yang tidak cemerlang.

UiTM pada mulanya ditubuhkan sebagai Pusat Latihan Pembangunan Industri sebelum kemerdekaan pada 1957. Ia kemudian ditukar menjadi Kolej Mara sebelum Institut Tekonologi Mara. Pada penghujung 1990-an, ia dinaiktarafkan sebagai universiti.

Pemimpin muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berkata kenyataan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan itu menunjukkan beliau merendahkan graduan UiTM.

“Kenyataan Ku Nan menunjukkan beliau berpendapat institusi tersebut sebagai kelas ketiga dan seterusnya merendahkan martabat satu universiti yang paling banyak mendidik orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Adakah beliau juga mengatakan alumni UiTM seperti menteri Azalina dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, sebagai ‘slow-learner’?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dyana berkata antara tujuan UiTM ditubuhkan untuk merapatkan jurang sosioekonomi yang dilihat gagal menjaga kebajikan dan menyediakan akses saksama daripada segi peluang pendidikan dan pekerjaan.

“Ku Nan tidak sepatutnya menyalahkan graduan atau pelajar UiTM jika sistem pendidikan kerajaan Barisan Nasional di peringkat kebangsaan gagal menjalankan tanggungjawab mendidik anak kita sehingga layak masuk universiti tanpa perlu merendahkan poin seperti didakwanya.

“Kebanyakan pelajar UiTM bukanlah ‘slow learner’, tetapi mereka terdiri daripada ‘underprivileged’ kerana dasar sosioekonomi yang gagal menjaga kebajikan dan gagal menyediakan akses saksama kepada peluang pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Ku Nan itu tamparan hebat kepada institusi Majlis Amanah Rakyat, pelajar dan alumni UiTM serta penghinaan terhadap Arshad Ayub iaitu pro-canselor UiTM yang menjadi tulang belakang kejayaan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi untuk Bumiputera.

Bagaimanapun, bekas naib canselor UiTM Dr Ibrahim Shah Abu Shah mempertahankan kenyataan Ku Nan dengan berkata kenyataan itu disalahertikan oleh media.

Ibrahim berkata Ku Nan tidak memukul rata kepada semua pelajar UiTM, tapi beliau ketika itu sedang menjelaskan mengenai program “Mengubah Destini Anak Bangsa”, iaitu program pra-diploma bagi mereka yang tidak cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya baca berita, Ku Nan tidak maksudkan semua pelajar UiTM. Di UiTM kita memang ada bantu pelajar ‘slow learner’. Ia dipanggil program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’.

“Dia (Ku Nan) pun tahu dari UiTM ada banyak lahirkan menteri hebat. Projek khas ini memang diwujudkan untuk tolong anak Melayu.

“Betul, UiTM (boleh dikatakan) universiti tolong Melayu. Walau macam mana pun anak Melayu, kerajaan akan tolong dan bantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Media melaporkan Ku Nan mengeluarkan kenyataan itu ketika mengingatkan sumbangan Umno kepada pelajar, semasa berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017.

“Anda dapat masuk universiti, kalau ‘slow learner’ (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadangkala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.

“Adakala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah Umno,” katanya. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen