Berani balik kampung, berani tanggung, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Selepas dapat balik kampung, bukan ada jaminan tidak lepas daripada tindakan polis untuk balik semula ke tempat kerja, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

TIADA jaminan individu yang berjaya meloloskan diri balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa kebenaran polis akan terlepas daripada tindakan apabila pulang semula ke tempat kerja, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Hanya kerana berjaya meloloskan diri tidak bermakna mereka tidak akan dikenakan kompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat, jelasnya.

Penjawat awam juga tiada pilihan selain kembali bekerja selepas cuti Aidilfitri kerana Perkhidmatan Awam telah memberi amaran mereka boleh diambil tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing kerana tidak hadir kerja tanpa kebenaran bercuti. 

“Seperti saya katakan, selepas dapat balik kampung, bukan ada jaminan tidak lepas daripada tindakan polis untuk balik semula ke tempat kerja. Berani buat, berani tanggung.

“Kalau balik semula tak boleh lolos, bayarlah kompaun. Kita tak tahan mereka pulang (untuk bekerja), kita galak mereka pulang tetapi jangan pula kerana takut dikompaun sehingga tak balik pula dan hilang kerja pula,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, polis mengeluarkan kompaun kepada 387 individu atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB semalam.

Seramai 32 individu dikompaun atas kesalahan ziarah Hari Raya.

Sebanyak 285 kompaun dikeluarkan di lapangan di mana 194 dikeluarkan di sekatan jalan raya, kata Ismail Sabri. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen