Penjawat awam tidak balik kerja boleh kena tindakan, lapor media


Polis menjalankan operasi memburu segelintir yang berjaya bolos merentas negeri dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lebuh raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

PENJAWAT awam boleh dikenakan tindakan disiplin jika tidak kembali bekerja selepas cuti Aidilfitri kerana terperangkap di kampung, lapor BH Online, ketika pihak berkuasa giat memburu mereka yang melanggar sekatan rentas negeri minggu lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman dipetik berkata mereka boleh diambil tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing kerana tidak hadir kerja tanpa kebenaran bercuti.

Katanya, mereka yang terlibat akan dianggap tidak hadir bertugas dan boleh dihukum mengikut Perintah Am Bab D (Kelakuan dan Tatatertib).

“Dalam Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 17 Mac, pegawai mesti bekerja di pejabat atau dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) mengikut arahan ketua jabatan.

“Pegawai BDR boleh diarahkan untuk hadir di pejabat pada bila-bila masa namun jika tidak hadir tanpa mengemukakan surat cuti, boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Penjawat awam yang melanggar PKPB dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah juga boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melibatkan kesalahan jenayah, tambah Khairul Adib.

Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menetapkan jenis-jenis hukuman kepada penjawat awam yang melanggar disiplin, daripada amaran dan denda sehinggakan hukuman yang menjejaskan gaji dan pangkat, atau dibuang kerja.

Semalam, Menteri Kanan (keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis mengeluarkan kompaun ke atas 14 orang yang berada di kampung tanpa kebenaran perjalanan merentas negeri.

“Apabila saya katakan, kami serius akan mengambil tindakan, ramai yang mengambil ringan,” katanya pada sidang media harian, semalam.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador juga berkata pihaknya sedang menjalankan operasi memburu segelintir yang berjaya bolos merentas negeri dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lebuh raya.

Menurut Bernama, pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur untuk mengenal pasti mereka yang mungkin bolos sekatan jalan raya sebelum ini.

Minggu lalu, polis membuat sekatan jalan raya untuk menyekat pergerakan rentas negeri menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan ribuan kenderaan diarah patah balik kerana tiada surat kebenaran perjalanan mengikut peraturan di bawah PKPB.

Susulan itu, mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Covid-19 pada 16 Mei lalu memutuskan tindakan kompaun ke atas mereka yang tidak mengendahkan larangan rentas negeri.

PKPB yang bermula pada 4 Mei lalu ditetapkan berjalan sehingga 9 Jun ini. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen