Adun Senai diperintah keluar sidang DUN Johor


Ikhwan Zulkaflee

Adun Senai Wong Shu Qi enggan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin dengan dakwaan skandal tanah. – Gambar Facebook, 27 November, 2017.

WAKIL rakyat DAP, Wong Shu Qi diperintahkan keluar dari persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini setelah enggan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dengan dakwaan skandal tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai itu diarahkan keluar dewan oleh Speaker Mohamad Aziz selepas sesi perbahasan Bajet Johor 2018 bersambung pada pukul 2.30 petang tadi.

Mohamad menggunakan Peraturan 50 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dun Johor untuk mengarahkan Wong keluar dari dewan setelah Adun Senai itu enggan menarik balik dakwaannya.

Peraturan tersebut menyebut seseorang ahli Dun tidak boleh mendatangkan sangkaan buruk kepada seseorang ahli yang lain.

“Senai, kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita anggota Dun jika tidak mahu tarik balik, ini bercanggah dengan peraturan.

“Jadi saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk arahkan Senai keluar dari Dewan sekarang juga,” kata Mohamad.

Walau dibantah beberapa Adun DAP lain, Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor akur dengan keputusan Mohamad dan beredar keluar dewan.

Ketika gilirannya membahaskan Bajet Johor 2018 tengah hari tadi, Wong menuduh Khaled menerima sejumlah wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.

Wong berkata beliau dapat maklumat itu dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan skandal tersebut.

“Saksi ini tidak lain dan tidak bukan merupakan orang tengah dalam semua transaksi tersebut. Saya telah dimaklumkan tentang kenyataan saksi tersebut setelah ada pihak memuat naik dokumen-dokumen ke laman web,” katanya.

Bagaimanapun, Khaled tidak berada di dalam dewan ketika Wong mengutarakan perkara ini.

Skandal itu membabitkan 33 pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Abd Latif Bandi dan seorang perunding hartanah Amir Shariffuddin pada Jun lepas melibatkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta, antara tahun 2013 sehingga tahun lalu.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

Pada masa sama, Wong mendakwa kerajaan negeri mengalami kerugian besar akibat penyelewengan ini.

“Daripada pendedahan tersebut, kita mendapati bahawa wang yang dibayar kepada menteri besar, exco dan orang tengah hampir sama dengan jumlah sumbangan pemaju kepada Tabung Perumahan Negeri Johor, iaitu RM40 juta. Dalam kata lain, tabung ini telah rugi besar akibat penyelewengan kerajaan,” katanya.

Adun Senai itu juga meminta campur tangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menubuhkan Suruhajaya Siasatan Diraja bagi menyiasat pendedahan ini.

Kenyataan Wong itu mencetuskan perang mulut antara wakil rakyat yang hadir dengan Suhaimi Salleh (BN-Kukup) mengatakan ia tuduhan berniat jahat terhadap Khaled dan menggesa Wong menarik balik kenyataannya.

Suhaimi turut disokong oleh beberapa lagi Adun dari pihak kerajaan negeri termasuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang) dan juga Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai).

Wong turut ditegur timbalan speaker Baderi Dasuki, yang mempengurusikan mesyuarat ketika itu. Katanya, skandal tersebut kini dalam proses mahkamah dan ia tidak seharusnya diutarakan di dalam dewan.

“Bahaskan perkara lain,” arahnya kepada Wong.

Wong bagaimanapun bertegas untuk tidak menarik balik kenyataannya.

Lebih 10 Adun kerajaan juga bangkit dan menyokong usul supaya Wong dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Johor sebelum dewan ditangguhkan untuk rehat.

Pada sidang medianya di luar sidang DUN Johor, Wong mengulangi pendiriannya untuk tidak menarik balik kenyataannya terhadap Khaled.

Wong diarahkan keluar Dewan oleh Mohamad sejurus sesi perbahasan bersambung setelah gagal menarik balik kenyataannya.

Apabila ditemui wartawan, Mohamad berkata beliau mengarahkan Wong keluar dewan hari ini namun dia (Wong) boleh kembali menghadiri perbahasan Bajet Johor 2018 esok.

“Bolehlah kalau dia nak masuk. Kalau saya hadkan contoh macam Khamis tak boleh masuk barulah dia tak boleh,” katanya.

Mohamad turut berkata dia hanya mengarahkan Wong untuk keluar dari dewan dan tidak merujuknya kepada mana-mana jawatankuasa Dun Johor.

“Ia berakhirlah setakat ni tadi tapi kalau esok ada nak bangkitkan lagi terpulanglah apa tindakan berikutnya.

“Kalau keputusan dia (Wong) dirujuk kepada sesuatu jawatankuasa, bolehlah dia dirujukkan dan jawatankuasa (itu) akan tentukan tindakan boleh diambil terhadapnya.

“Tapi hari ni tak adalah. Saya buat keputusan suruh dia keluar, dan dia keluar,” jelasnya. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen