Perlis lulus had umur 18 tahun pengundi, calon pilihan raya


Perlis menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

PERLIS menjadi negeri kedua selepas Sabah menurunkan had usia mengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan 2020), hari ini.

Menteri Besar Azlan Man, berkata Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan 14 daripada 15 ahli dewan kecuali Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) yang tidak hadir.

Ketika sesi penggulungan usul tersebut, Azlan berkata beliau percaya bahawa calon pilihan raya berusia 18 tahun layak bertanding walaupun ada ahli dewan menyuarakan sedikit kebimbangan dari segi kematangan calon.

“Kerajaan perlu ada satu mekanisme yang membolehkan mereka diberi peluang untuk matang dengan lebih cepat agar apabila dipilih sebagai calon, mereka ini dapat memberikan sumbangan, idea dan sebagainya kepada masyarakat,”  katanya.

Pada Julai tahun lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun. – Bernama, 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen