Malaysia tak pernah terima rundingan pengakuan bersalah, Riza kes pertama, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

Rundingan pengakuan bersalah (plea bargaining) tak pernah diamalkan di Malaysia, kes Riza Aziz adalah yang pertama, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

MALAYSIA tidak pernah menerima rundingan pengakuan bersalah (plea-bargaining) dengan suspek penjenayah, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam serangan terbaru ke atas penyelesaian dicapai kerajaan dalam kes Riza Aziz.

“Rundingan pengakuan bersalah diamalkan di Amerika Syarikat. Malah di sana pun ia adalah tentang maklumat yang lebih banyak memberi faedah kepada kerajaan,” kata Dr Mahathir dalam catatan terbaru di blognya.

“Ia bukan soal mengembalikan wang yang dirompak. Sudah tentu bukan sekali tentang memulangkan kurang separuh daripada wang yang dirompak,” tulisnya.

Riza, anak tiri Najib Razak dilepaskan tanpa dibebaskan untuk lima pertuduhan penggubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Susulan keputusan mahkamah pada 14 Mei untuk mengugurkan kes atas permohonan pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata kerajaan dijangka menerima semula aset berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) yang merupakan syarat penyelesaian antara pendakwaan dan Riza.

Sekiranya Riza tidak berjaya memenuhi syarat itu, beliau boleh didakwa semula.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mendakwa penyelesaian Putrajaya dengan Riza unik kerana anak tiri Najib itu hanya perlu mendapatkan wang yang sudahpun disita oleh Jabatan Kehakiman AS.

DoJ membantu Malaysia mendapatkan semula dana yang diseleweng daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli aset dan hartanah di AS.

“Sekarang wang ini, berdasarkan perjanjian dengan peguam negara sebelum ini, dikembalikan ke Malaysia selepas bukti diserahkan ia adalah milik Malaysia,” tulis Dr Mahathir.

“Jadi apa yang Riza Aziz sedia pulangkan adalah separuh daripada wang yang akan disita oleh DoJ As yang mana akan dipulangkan oleh jabatan itu kepada Malaysia.

“Sebahagian besar wang yang dirompak Riza akan terus dipegangnya. Dalam kata lain, dia akan terus pegang duit yang dirompak dan dilepaskan (daripada pendakwaan) juga.”

Keputusan kes Riza mencetuskan perang mulut antara bekas peguam negara Tommy Thomas yang berkhidmat pada pentadbiran Dr Mahathir, SPRM dan Peguam Negara sekarang Idrus Haron.

“Semua orang yang terlibat dalam membuat keputusan membantah dan berkata mereka tak buat keputusan itu. Jelas sekali, mereka tahu keputusan itu salah,” kata Dr Mahathir.

“Rakyat jijik dan marah. Adakah ini keadilan yang diamalkan di Malaysia?.”

Bekas perdana menteri itu berulang kali mengecam kerajaan Perikatan Nasional yang dakwanya disokong oleh “orang yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana merompak, penggubahan wang haram dan korupsi.”

Pemimpin kanan Umno yang merupakan sebahagian kerajaan PN, majoritinya sedang dibicarakan di mahkamah kerana pelbagai kesalahan jenayah termasuklah bekas presiden Najib Razak, Presiden sekarang Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor.

Umno membentuk kerajaan PN bersama-sama dengan kumpulan Bersatu diterajui Muhyiddin Yassin, bekas pemimpin PKR yang keluar parti, MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak. – 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen