Aidilfitri suram kerana Covid-19


Aminah Farid Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim

Penduduk kuarters JKR dan Kementerian Kerja Raya di Sungai Besi memasang pelita sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi. Orang ramai dilarang balik kampung bagi membendung jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Mei, 2020.

BAGI kebanyakan umat Islam, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Aidilfitri bukan sekadar membeli baju raya, kuih-muih, menikmati lemang dan ketupat, mendapat duit raya atau menghias rumah.

Sambutan Aidilfitri sebenarnya masa untuk kaum keluarga berhimpun, saling bermaaf-maafan di pagi hari raya.

Namun suasana itu hampir pasti tidak dapat dirasai tahun ini akibat pandemik Covid-19 susulan pihak berkuasa melarang orang ramai balik ke kampung bagi membendung jangkitan.

Umat Islam juga tidak dapat menunaikan solat sunat hari raya seperti kebiasaan kerana hanya 30 orang dibenarkan berjemaah.

Bagi Afiqah Mahmood, 27, walaupun sudah membuat persiapan membeli baju dan kuih raya, namun semangat menyambut Aidilfitri tidak dirasai tahun ini.

“Saya tak sangka akan sambut Hari Raya tanpa keluarga. Raya tahun ini tak sama macam raya,” kata Afiqah yang berasal dari Negeri Sembilan tetapi bekerja dan menetap di Pulau Pinang.

“Tak ada semangat nak beraya sebab ibu bapa saya di Seremban, dan saya tak boleh balik ke kampung. Nenek saya juga beraya seorang diri. Bagi saya hari raya tahun ini menyedihkan.”

Bukan sahaja Afiqah, sembilan keluarga berpendapatan rendah yang ditemu bual The Malaysian Insight di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor juga sependapat mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bagi kebanyakan umat Islam, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Mei, 2020.

Mislia Md Dahlan tidak sabar untuk bertemu adik-beradik dan saudara-mara yang kebiasaannya akan bertandang ke rumahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Saya sedih sebab tak dapat berjumpa saudara-mara dan orang yang saya rindui. Mereka mesti datang ke rumah bila Hari Raya,” kata suri rumah berusia 57 tahun itu. Anak lelakinya yang bekerja di Kedah juga tidak dapat balik untuk beraya bersama tahun ini, katanya.

“Adik-adik saya juga tak dapat balik menjeguk mak kami yang uzur di sini.”

Tambah Mislia, keadaan ini menyebabkan beliau tidak teringin langsung untuk menghias rumah.

Bila-bila pun boleh beraya

Pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan selama lapan minggu bagi memutuskan rantaian jangkitan yang sehingga kini menjangkiti 7,009 orang dan 114 kematian di negara ini.

Ini menyebabkan kebanyakan aktiviti ekonomi terhenti sepanjang PKP lantas menjejaskan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Mereka yang bergantung kepada gaji harian seperti peniaga pasar malam, penjaja dan buruh terjejas teruk.

Bagi penjual buah, Zulfahmi Gafar, sekatan perjalanan semasa PKP menyebabkan beliau hanya dapat bekerja selama empat hari sahaja dalam seminggu.

“Jadi, saya hanya ada pendapatan untuk empat hari. Oleh sebab tabungan pun dah berkurangan, kami tak buat apa-apa persiapan untuk Hari Raya,” kata Zulfahmi, 28, yang menetap di Gombak.

Bagaimanapun, Zulfahmi bernasib baik kerana dapat beraya bersama isteri dan anak-anak serta ibu bapanya yang tinggal berdekatan.

PKP juga menjejaskan pendapatan Jamilah Bebe Mustapha yang bekerja sebagai pemandu van susulan sekolah di seluruh negara ditutup.

“Saya tak layak dapat bantuan kerajaan, jadi sambutan Hari Raya tahun ini sederhana saja. Saya buat sendiri kuih raya dan pakai baju raya tahun lepas.” – 21 Mei, 2020.     

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen