Lebih ramai peguam dibenarkan dalam prosiding kes 1MDB


Bede Hong

Seramai sehingga sembilan peguam mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan hadir perbicaraan kes 1MDB yang diadakan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

SERAMAI sembilan peguam Najib Razak dibenarkan hadir pada prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri itu, selepas berlaku perbalahan berkenaan isu itu semalam.

Ketua pasukan peguam Muhammad Shafee Abdullah kini turut disertai oleh peguam Tania Scivetti di sebelahnya. Dua lagi peguam berada di galeri awam, mengambil nota.

Pihak pendakwaan juga menambah timbalan pendakwa raya daripada tiga semalam, kepada tujuh, dengan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram duduk bersama Ahmad Akram Gharib.

Shafee dan Sri Ram mendapat kebenaran untuk menambah jumlah peguam di mahkamah selepas pertemuan dengan Ketua Hakim Malaya Malaya Azahar Mohamed semalam, kata seorang peguam bela kepada The Malaysian Insight.

Tikam lidah berkenaan syarat penjarakan sosial pada perbicaraan 1MDB semalam, menyebabkan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mengendalikan kes itu mencadangkan perbicaraan itu diadakan di pasar borong untuk memenuhi keperluan peguam bela.

Sequerah mengetepikan permohonan Shafee untuk lebih tiga peguam hadir pada prosiding mahkamah.

“Saya bukan sengaja ikut SOP untuk menyusahkan. Saya mematuhi SOP itu kerana saya fikir kesihatan dan keselamatan nyawa manusia yang paling penting. Itu sebabnya kenapa saya ikut SOP. Bukan sebab lain,” kata Sequerah.

Shafee kemudian memohon perbicaraan itu ditangguhkan hingga 9 Jun, selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat tamat.

“Dengan cara itu kita boleh capai kedua-duanya, proses perbicaraan yang adil dan keselamatan nyawa manusia.

“Saya tidak boleh bekerja dengan keadaan begitu, saya mungkin perlu tarik diri,” kata Shafee.

Selepas berbalah, Sequerah kemudian mencadangkan lebih baik jika perbicaraan itu diadakan di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang tanpa sekatan. – 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen