Usahawan musim raya bergelut dengan perniagaan akibat PKP


Sheridan Mahavera Aminah Farid

Orang ramai keluar membeli barangan sempena sambutan Aidilfitri ketika PKPB masih dikuatkuasakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Mei, 2020.

JIKA tidak kerana ikan perhiasan dan akuarium, perniagaan songkok Dehyatul Qolbi Hassanuddin mungkin sudah gulung tikar ekoran pandemik Covid-19.

Seperti hampir semua perniagaan di seluruh Malaysia, kedai pakaian dan songkok, Dehyatul kehilangan semua pelanggannya, ketika wabak itu memaksa sebahagian besar ekonomi ditutup selama kira-kira lapan minggu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan hingga minggu pertama Ramadan menjejaskan penjahit, pembuat kuih dan kek serta peniaga pakaian yang bergantung dengan jualan Ramadan dan Hari Raya.

PKP dikuatkuasa pada 18 Mac untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 yang setakat ini telah menjangkiti 6,978 dan membunuh 114 rakyat Malaysia.

Tujuh dari 10 peniaga yang ditemuramah dalam tinjauan The Malaysian Insight berkata keseluruhan pelaburan mereka untuk tahun ini tidak memberi apa-apa pulangan.

Ada yang berkata mereka tidak pasti sama ada mereka akan menghasilkan wang yang cukup untuk membayar sewa, bil utiliti dan gaji kakitangan kerana penjualan menurun 50% hingga 90%.

Dehyatul, dari Klang, menjadi salah seorang peniaga yang turut terjejas dalam situasi sama namun pada akhir tahun lalu, dia mula menjual bekalan untuk seni akuaskap – seni membuat taman dalam akuarium.

“Aquascaping selalu menjadi hobi saya dan saya hanya menjadikannya sebagai perniagaan akhir tahun lalu. Beberapa bulan kemudian, PKP dikuatkuasa,” kata Dehyatul ketika ditemui di Pasar Jawa bandar Klang di Selangor.

“Syukur saya dapat mulakan perniagaan akuaskap. Jualan dalam talian dari perniagaan akuaskap berjaya menebus 50% kerugian perniagaan songkok saya,” kata peniaga berusia 32 tahun itu.

“Saya dapat menjual bekalan akuascape secara dalam talian sedangkan dengan songkok, pembeli harus datang dan mencubanya sendiri sebelum mereka membeli,” katanya.

Semasa PKP, Dehyatul menjual dan menghantar ratusan tempahan ikan dan udang kecil kepada peminat aquascape di seluruh Malaysia dan hasilnya dapat membantu perniagaan songkok beliau terus bertahan.

Dehyatul adalah salah seorang dari tiga peniaga optimis yang ditemui The Malaysian Insight. Beliau yakin dapat bertahan daripada kehilangan perniagaan semasa Aidilfitri hingga akhir tahun ini. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen