Seni sebagai jawapan kepada pengetahuan


Haris Hauzah

IBNU Sina pernah berkata sesungguhnya “jiwa umpama lampu kaca, pengetahuan ialah cahaya, dan hikmah tuhan ialah minyaknya.

“Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati.”

Tidak pernah dapat sesiapa nafikan seni adalah wahana eskapisme terindah yang pernah diciptakan manusia.

Dunia yang kian renta ini telah terlalu banyak menghadapi peperangan hingga gering dek sekalian pencemaran.

Hal itu malah telah memecahbelahkan manusia sampai ramai mula ragu dengan kebahagiaan yang mereka rasa dan sangsi dengan sekian banyak keindahan yang mereka saksi.

Dari situlah seni, sastera, bahasa dan budaya yang digabungcantumkan sampai menjadi lagu, novel atau filem datang pada setiap manusia lalu menyusup, menawarkan jawapan dan memberikan harapan.

Manusia sudah terlalu lelah dengan pelbagai kepalsuan politik bermanifesto. Menyaksikan kemelut demi kemelut politik pengkhianatan yang tak berkesudahan.

Menonton gelagat sekalian YB berbabi-babi di dalam dewan menerima gaji dan elaun lumayan setiap bulan. Memerhati perangai para menteri beraksi khianat sibuk berebut kuasa dan jawatan walau membelakangkan mandat para rakyat.

Sampaikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pun jadi tempat parti-parti politik membuka cawangan.

Pada waktu dan tika ini kita semua sudah kepenatan. Lelah dengan segala macam pandemik yang membunuh terlalu banyak kecantikan dan keindahan dunia ciptahan Tuhan.

Ikhtilaf sesama agamawan dan pergeseran yang sering dijadikan modal politikus memanaskan semangat perkauman menjadikan manusia buta dan mula hilang penilaian. 

Kita jadi bangsa Malaysia yang gagal melihat kecantikan seni, sastera, bahasa dan budaya yang membalut sesebuah karya.

Walhal ia bukan saja datang sebagai wadah perakam sejarah, malah merupakan platform pembelajaran siasah yang mengajarkan benar salah perjuangan serta mengenalkan kita dengan iblis setan kehidupan. 

Inti pada isi kandungan setiap hasilan seni berupa epistemologi berupaya memberikan banyak pencerahan.

Sampai manusia mampu mencapai maksud penghayatan dalam mengaitkan naratif pada lagu, novel atau filem dengan kehidupan yang berlandaskan hak dan kebenaran. 

Api yang ada pada beberapa lapis makna dari prosa, visual dan bunyi-bunyian yang dilantunkan, ternyata membawa cahaya kesedaran betapa ada banyak sekali hal di depan mata yang menipu dan mengelirukan.

Seorang perdana menteri yang menjadi ketua kerajaan hasil kerja percaturan pengkhianatan belum tentu berani menghadapi sebuah sidang dewan.

Malah persidangan dewan yang dilakukan hanyalah menepati syarat agar tidak berhadapan dengan isu perbalahan pembubaran.

Apabila berlakunya banyak pertembungan dari sekian perkembangan pengkhianatan dalam pentadbiran, demokrasi dan sosial yang berlaku kebelakangan ini, masyarakat agak mudah untuk turut terjebak jatuh ke lembah hipokrasi – menidakkan banyak sekali hal hak asasi manusia yang seharusnya dinilai dengan hati-hati dan bijak.

Sepertimana apa yang telah disebutkan pada awal tulisan ini, tidak pernah ada sesiapa berupaya menolak, sesunggguhnya seni adalah wahana eskapisme paling indah yang pernah manusia ciptakan.

Dunia yang kian menua sudah terlalu tenat. Ia sekarang nazak dengan sekian banyak pencemaran dari kehancuran yang bermula dari pertembungan, perbalahan, perang kuasa, ketamakan dan kebobrokan memenangkan kelompok berkepentingan.

Beberapa hari yang lalu ada kicauan di Twitter yang sedikit mengharukan, apabila seorang pemuda homoseksual Melayu yang beragama Islam diancam oleh masa depan yang tak terdaya untuk dia sendiri buat pilihan. 

Dia yang merupakan seorang siswa di sebuah universiti awam tempatan, menaikkan status kicauan “ditekan” kerana berhadapan dengan ancaman akan diberhentikan daripada meneruskan pembelajaran termasuk segala perbelanjaan yang ditanggung keluarga turut akan sepenuhnya dihentikan. 

Segalanya kerana keluarga mengetahui dia seorang pemuda homoseksual.

Di sinilah seni, sastera, bahasa dan budaya berupaya menjadi senjata seperti yang disebutkan oleh Ibnu Sina. 

Setiap jiwa tentunya memerlukan pengetahuan yang datang tidak hanya dalam bentuk kelas dan syarahan, sebaliknya dalam bentuk pilihan seperti lagu, novel dan filem yang mencerahkan.

Novel “Profesor” karya Faisal Tehrani misalnya, datang ke tengah masyarakat tidak hanya sekadar mahu mencabar pegangan budaya dan kepercayaan nilai agama versi klasik yang anti perubahan.

Akan tetapi ia membawa nas dan dalil pilihan untuk kita cuba mencapai hikmah Tuhan untuk menyalakan sumbu pengetahuan.

Seperti yang ditekankan oleh Faisal melalui teks kuliah Prof Dr Ali Taqi dalam novelnya: “Seseorang manusia tidak perlu melucutkan agamanya untuk mengembalikan hak asasi manusia kepada golongan LGBT, kerana Islam adalah agama yang tidak menindas, kerana hak asasi manusia itu sendiri adalah perkara yang paling diserukan oleh Islam.”

Novel-novel “hujah” sebegini bukan ingin memberikan justifikasi lalu kita ramai-ramai menjadi liberalis acahan yang turun mengambil bahagian dalam setiap acara atau perarakan yang mereka anjurkan. 

Akan tetapi seni itu jelas sekali dilihat berupayaan memberi kita solusi dan jawapan bahawa dunia ini ada beberapa jalan pilihan yang perlu kita tanggapi dan raikan dengan aman.

LGBT wujud sebagai makhluk Tuhan yang seharusnya masyarakat terbanyak belajar untuk memberikan hak-hak kemanusiaan. 

Penting bagaimana kita menanggapi isu ini dengan lebih wajar agar kita dapat mengelak segala jenis penindasan.

Penawaran seni yang datang ke tengah masyarakat walau dengan cara kontroversi, sarkasme atau ejekan yang keras, jelas berupaya mengangkat status kebijaksanaan masyarakat ke suatu takah yang lebih menyelesakan.

Hal inilah yang diberi penekanan dalam kata-kata hikmah Ibnu Sina yang mengumpamakan “sekiranya ia menyala, kamu hidup; sekiranya ia padam, kamu mati.”

Hal-hal kemanusiaan serta isu-isu hak asasi manusia dalam karya seni seharusnya diperbanyak dan diperhebatkan, agar autoriti seperti kumpulan ekstrem agama serta golongan penguasa yang menindas dapat diimbangi dengan kesedaran masyarakat – bahawa hak asasi manusia adalah suatu cita-cita dan impian besar kemanusiaan yang harus ditegakkan.

Seandainya kita ada impian untuk melihat dunia tua ini dapat lebih indah dan terus aman, maka seni adalah jawapan. – 18 Mei, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen