Kami tak akan diskriminasi sesiapa, kata MB Kedah baharu


Zaim Ibrahim

Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah selaku menteri besar kedah ke-14, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

MENTERI Besar Kedah baharu Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu akan dijalankan secara berhemah, adil dan saksama kepada semua pihak. 

“Tidak akan berlaku penganiayaan atau ketidakadilan terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan yang daripada kategori lantikan politik oleh kerajaan yang terdahulu,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah, hari ini. 

Sanusi mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah ke-14 dalam majlis yang diadakan di pejabat Tuanku Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sulyan Badlishah di Wisma Darul Aman, pada jam 3.05 petang tadi.

Sanusi, 46, turut menjelaskan projek pembangunan sebelum ini akan diteliti semula dan dikaji sama ada akan diteruskan, ditambah baik atau dibatalkan. 

“Mengenai projek pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu, ada program yang akan kita teruskan, yang memerlukan penambahbaikan kita akan lakukan dan ada juga sektor yang mungkin memerlukan kita tekan butang total reset.

“Ini akan akan dilakukan dengan perhatian yang teliti dengan rakyat sebagai keutamaan,” katanya pada sidang media pertama selaku MB itu.

Tambah Sanusi lagi, beliau juga sudah merancang program pembangunan kemiskinan di Kedah.

“Suatu program jihad membasmi kemiskinan membabitkan golongan fakir dan anak-anak yatim akan dirangka dengan komitmen bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Ini tidak hanya berfokus kepada orang Islam sahaja, exco yang bertanggungjawab bagi portfolio hal ehwal bukan Islam yang akan dilantik dalam beberapa hari lagi,   juga memberikan komitmen untuk membasmi kemiskinan menerusi program-program yang lebih efektif,” katanya.

Mukhriz Mahathir semasa mengumumkan peletakan jawatannya sebelum ini sudah membentangkan pencapaian pentadbirannya sejak Mei 2018.

Beliau menyebut antaranya bagaimana Kedah menarik pelaburan berjumlah RM14.7 bilion, menjadikannya negeri ketiga tertinggi menerima pelaburan di Malaysia selepas Selangor dan Pulau Pinang.

Tambahnya lagi, beberapa projek yang sedang dalam pembangunan atau yang sudah diluluskan antaranya Litar Lumba Antarabangsa Kedah di Sungai Petani, Taman Teknologi Tinggi di Kulim, Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam, Hub Pembuatan Logistik dan Aeroangkasa di Sidam, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Mukhriz juga menyebut kejayaan pentadbirannya menghentikan pencerobohan hutan di Empangan Ulu Muda, meluaskan kawasan tadahan air dan hutan simpan serta membatalkan kelulusan projek kuari batu di Gunung Pulai, yang diluluskan semasa pentadbiran BN.

“Saya senaraikan kejayaan-kejayaan ini selain banyak lagi yang tidak disebutkan di sini, semata-mata untuk memperingatkan kita semua bahawa Pakatan Harapan Kedah mencapai prestasi yang sangat luar biasa, memecah rekod dari pelbagai aspek yang membawa nikmat bagi rakyat,” katanya.

Krisis politik Kedah mula berlaku apabila dua Adun PKR Azman Nasruddin (Lunas) dan Robert Ling Kui Ee (Sidam) keluar parti dan menyatakan sokongan kepada PN di Kedah.

Tindakan itu menyebabkan gabungan PAS dan Umno yang mempunyai 17 kerusi bertambah kepada 19.

Namun gabungan dua parti itu mendapat lebih sokongan daripada empat Adun Bersatu yang beralih sokongan menyokong PN.

Kerajaan PN kini mempunyai 23 kerusi DUN- PAS (15), Umno (2), Bebas (2) dan Bersatu (4).

Manakala PH mempunyai 13 kerusi DUN- PKR (5), Bersatu (2), Amanah (4) dan DAP (2). – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen