Rakyat akan pantau kerajaan Perikatan di Kedah, kata Mukhriz


Zaim Ibrahim

Bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir selepas bercakap pada sidang media di Alor Setar, hari ini.– 17 Mei, 2020.

BEKAS menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir memberi amaran bahawa rakyat akan menilai dan memantau pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, selepas langkah politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu yang dipilih dalam pilihan raya umum dua tahun lalu.

Katanya, sepanjang dua tahun pentadbiran PH, Kedah berjaya menambah pelaburan serta menjaga alam sekitar negeri, dan berharap semua itu akan diteruskan oleh kerajaan baharu.

“Kami akan memantau setiap satu tindakan dan tingkah laku anda.

“Rakyat akan memerhati secara terperinci sama ada kerajaan yang akan menggantikan kami nanti akan teruskan projek-projek yang telah mula diusahakan, dan pelaburan yang telah diluluskan oleh Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Rakyat juga akan memantau sekiranya hutan-hutan simpan Kedah akan menjadi mangsa pembalakan tak terkawal di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Anggaplah ini satu amaran tegas kepada anda semua,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, mengumumkan peletakan jawatannya.

Mukhriz juga memberi amaran kepada kerajaan baharu agar tidak pilih kasih dalam pentadbiran kerajaan, sebaliknya bertanggungjawab kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Jangan libatkan rakyat dan perkhidmatan tadbir negeri dengan sepak terajang politik anda,” katanya.

Mukhriz membuka sidang medianya dengan membentangkan pencapaian pentadbiran beliau sejak Mei 2018.

Beliau menyebut antaranya bagaimana Kedah menarik pelaburan berjumlah RM14.7 bilion, menjadikannya negeri ketiga tertinggi menerima pelaburan di Malaysia selepas Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau menyebut beberapa projek yang sedang dalam pembangunan atau yang sudah diluluskan antaranya Litar Lumba Antarabangsa Kedah di Sungai Petani, Taman Teknologi Tinggi di Kulim, Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam, Hub Pembuatan Logistik dan Aeroangkasa di Sidam, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Mukhriz juga menyebut kejayaan pentadbirannya menghentikan pencerobohan hutan di Empangan Ulu Muda, meluaskan kawasan tadahan air dan hutan simpan serta membatalkan kelulusan projek kuari batu di Gunung Pulai, yang diluluskan semasa pentadbiran BN.

“Saya senaraikan kejayaan-kejayaan ini selain banyak lagi yang tidak disebutkan di sini, semata-mata untuk memperingatkan kita semua bahawa Pakatan Harapan Kedah mencapai prestasi yang sangat luar biasa, memecah rekod dari pelbagai aspek yang membawa nikmat bagi rakyat,” katanya.

Tambah Mukhriz, Pakatan Harapan di Kedah akan mengadakan beberapa siri jelajah untuk menjelaskan isu politik kepada rakyat.

Ini adalah kali kedua Mukhriz letak jawatan menteri besar Kedah di tengah jalan, selepas kali pertama pada 2016, apabila Adun BN diminta menarik balik sokongan kepadanya setelah beliau lantang mengkritik Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

Sejurus sidang media itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor telah mendapat perkenan Sultan Kedah untuk dilantik sebagai menteri besar baharu.

Majlis pelantikan akan diadakan petang ini (Ahad) di Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Sanusi pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah (2008-2013), Azizan Razak.

Semasa menjadi menteri besar, Azizan beberapa kali terpalit dengan isu pembalakan di Tasik Pedu. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen