Semangat langgar Muhyiddin makin membara, kata Mukhriz selepas letak jawatan MB


Zaim Ibrahim

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir sedia untuk merampas jawatan presiden Bersatu daripada Muhyiddin Yassin pada pemilihan parti.– 17 Mei, 2020.

TIMBALAN Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir tidak melihat peluang beliau melawan Muhyiddin Yassin untuk jawatan presiden Bersatu tertutup apabila hilang jawatan menteri besar Kedah.

Malah katanya, semangat beliau semakin membara untuk melawan Muhyiddin, yang juga sekarang perdana menteri.

“Saya nak tanding presiden Bersatu, jadi nak langgar dia. Mungkin Muhyiddin Yassin tak berapa yakin dalam pertandingan ini, jadi ambil tindakan drastik cari cara gulingkan saya.

“Politik orang Melayu, orang yang diaibkan dapat simpati dan sokongan lebih lagi berbanding pihak yang mengaibkan. Saya terima baik tindakan ini dikenakan ke atas saya.

“Ini beri keyakinan bahawa saya mampu jatuhkan beliau sebagai presiden,” katanya pada sidang media di Alor Setar, mengumumkan peletakan jawatan menteri besar.

Mukhriz diminta mengulas persiapannya untuk pemilihan Bersatu apabila beliau kini bukan lagi menteri besar Kedah.

Pada awal April, sebulan selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Bersatu mengesahkan pencalonan Mukhriz mencabar jawatan presiden parti.

Bersatu kini terpecah dua kem iaitu pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad yang mahu kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan Muhyiddin yang membawa parti keluar dari PH untuk bersama Umno dan Pas.

Pemilihan itu sepatutnya diadakan pada 18 April lalu tetapi ditangguhkan sehingga selepas 30 Jun, selaras dengan arahan Pendaftar Pertubuhan susulan tindakan kerajaan membendung penularan Covid-19. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen