Mukhriz sah cabar Muhyiddin untuk presiden Bersatu


Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir akan mencabar Muhyiddin Yassin yang mempertahankan jawatan presiden.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2020.

JAWATAN presiden dan timbalan presiden Bersatu akan ditandingi satu lawan satu antara kem Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, sementara jawatan lain dalam Majlis Pimpinan Tertinggi akan ditandingi oleh ramai calon untuk tempat yang sedikit.

Senarai muktamad calon yang layak bertanding, yang dikeluarkan Bersatu semalam, menunjukkan Muhyiddin, yang mempertahankan jawatan presiden, dicabar oleh timbalannya Mukhriz Mahathir.

Jawatan timbalan presiden pula ditandingi antara bekas setiausaha agung Marzuki Yahya dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Mukhriz dan Marzuki adalah antara pemimpin Bersatu yang tidak menyokong langkah Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas hampir seminggu kemelut politik susulan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

Dr Mahathir yang sehingga ini tidak mengiktiraf pentadbiran Muhyiddin di Putrajaya kekal sebagai pengerusi Bersatu selepas tiada calon lain mengemukakan pencalonan, semasa pendaftaran dibuka pada 16 Mac lalu.

Dalam pada itu, tiga kerusi naib presiden ditandingi 18 calon, sementara 20 jawatan ahli MPT ditandingi 164 calon.

Antara yang bertanding kerusi naib presiden ialah dua penyandangnya Ab Rashid Ab Rahman dan Abdul Rashid Asari.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin juga bertanding naib presiden.

Dua pemimpin kanan Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof dan Mohd Rafiq Naizamohideen serta bekas calon kerusi Parlimen Masjid Tanah, Sabirin Jaafar turut layak bertanding kerusi naib presiden.

Sementara itu, antara yang bertanding untuk jawatan ahli MPT termasuk antaranya menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Eddin Syazlee Shith, serta timbalan menteri Rosol Wahid.

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik dan dua bekas menteri besar Johor Sahrudin Jamal dan Osman Sapian turut layak bertanding.

Beberapa pemimpin muda Bersatu juga bertanding untuk jawatan ahli MPT antaranya Ulya Aqamah Husamudin, Mohd Ashraf Mustakim Badrul Munir, dan Abu Hafiz Salleh Hudin. Turut bertanding ialah Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

Dalam pada itu, untuk jawatan ketua Pemuda, bekas ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar dua calon iaitu bekas pegawai khasnya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Muzammil Ismail.

Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun pula dicabar tiga calon iaitu Azlina Mehtab Mohd Ishaq, Izza Ismail, dan Zuhuraina Makmur.

Pengerusi Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar pada 16 Mac lalu mengumumkan pemilihan parti yang dijadual pada 18 April ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan, selaras dengan arahan Pendaftar Pertubuhan susulan penularan Covid-19. – Bernama, 7 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen