AHLI Parlimen pembangkang yang merupakan ahli Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat tidak memanggil mesyuarat untuk membincangkan pindaan diperlukan bagi membolehkan sidang Parlimen dibuat secara maya, kata Khairy Jamaluddin.
Separuh ahli jawatankuasa itu yang diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat adalah wakil rakyat Pakatan Harapan, dedah menteri sains, teknologi dan inovasi itu lagi.
Beliau mengulas kecaman Yeo Bee Yin sebelum ini yang mempersoalkan mengapa Khairy selaku menteri teknologi tidak mencadangkan sidang Parlimen dibuat secara maya.
“Sepanjang pengetahuan saya, jawatankuasa ini tidak dipanggil bermesyuarat untuk membincangkan pindaan kepada aturan mesyuarat bagi membolehkan persidangan Parlimen secara maya.
“Mungkin menteri sebelum ini boleh tanya speaker atau mana-mana tiga rakan PHnya (ahli Parlimen Segambut, Sungai Buloh dan Bayan Baru) mengapa mereka tak berbuat demikian (bermesyuarat),” kata Khairy dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata pindaan peraturan mesyuarat diperlukan bagi membolehkan Parlimen bersidang dalam talian atau mengadakan mesyuarat ‘hibrid’ dengan sejumlah ahli Parlimen hadir dan sebahagian lagi dalam talian bagi melaksanakan penjarakan sosial.
PH mengecam kerajaan Perikatan Nasional kerana gagal mengadakan sidang maya dan menuduhnya menggunakan wabak Covid-19 untuk menghalang Parlimen melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Khairy dalam kenyataan itu tidak menolak persidang dibuat secara maya dan berkata speaker sepatutnya memanggil mesyuarat jawatankuasa bagi mempertimbangkan pindaan diperlukan dibuat segera.
“Walaupun kes Covid-19 berkurangan, vaksin masih tidak ada, kita masih lagi perlu mengamalkan penjarakan sosial. Ini mungkin membolekan sidang Parlimen kedua dan ketiga dibuat dalam kaedah hibrid.
“Jika kita putuskan inilah cara selamat untuk Parlimen bersidang, sekurang-kurangnya prosedur perlu ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat yang dipinda. Sehingga sekarang, tiada cubaan berbuat demikian,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sg Buloh R Sivarasa yang merupakan ahli jawatankuasa itu berkata Khairy cuba menyalahkan jawatankuasa.
“Anda sekarang kerajaan. Anda boleh tentukan tarikh dan aturan mesyuarat Parlimen,” katanya dalam kenyataan pendek dikeluarkan menjawab tuduhan Khairy.
Wakil rakyat PKR itu berkata yang diperlukan hanyalah menteri membentangkan usul Peraturan Mesyuarat dipinda dan pembangkang akan menyokongnya.
Sidang Parlimen 18 Mei ini bagaimanapun tidak akan membentangkan atau membahaskan sebarang usul atau soalan wakil rakyat dan hanya dikhusukan untuk Titah Diraja.
Sivarasa berkata kerajaan PN sepatutnya berbincang dengan PH untuk mencari jalan bagi memastikan Parlimen dapat bersidang.
“Penyelesaian senang sahaja dicari. Pembangkang pastinya akan bekerjasama dengan kerajaan dalam hal ini.
“Tak perlu untuk Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat teliti atau beri pelbagai alasan.
“Buat sahaja atau terima anda memang tak mahu buat,” kata Sivarasa. – 16 Mei, 2020.
Komen