Yeo gesa Khairy tawar penyelesaian sidang Parlimen secara maya


Bekas menteri tenaga, sains, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin berkata tidak perlu sains roket untuk membolehkan Parlimen bersidang secara maya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

BEKAS menteri Yeo Bee Yin menggesa penggantinya Khairy Jamaluddin menawarkan penyelesaian teknologi agar Parlimen dapat bersidang secara maya.

Yeo yang merupakan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim semasa pemerintahan Pakatan Harapan berkata agak menghairankan mengapa Khairy tidak mencadangkan penggunaan teknologi yang sedang dilakukan oleh Parlimen di negara lain.

“Malah tidak perlu pun sains roket untuk membolehkan Parlimen bersidang secara maya.

“Zoom, Google dan Microsoft dan lain-lain syarikat teknologi sudahpun ada penyelesaian digital,” kata ahli Parlimen Bakri berkenaan. 

Portfolio di kementerian di bawah PH kini sudah berpecah dan Khairy adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Yeo berkata terdapat banyak teknologi yang tersedia memungkinkan 1,001 cara untuk membolehkan Parlimen terus berfungsi sebagai mekanisme untuk semak dan imbang untuk cabang kuaa eksekutif semasa pandemik Covid-19.

“Parlimen di kebanyakan negara di dunia ini telah beroperasi secara maya (secara sepenuhnya atau separa) bukan sahaja negara-negara maju seperti United Kingdom, Kanada, Belgium, Perancis, New Zealand and Luxembourg malah negara-negara membangun juga seperti Poland, Maldives, Brazil, Angola dan banyak lagi,” katanya.

Yeo berkata dengan platform maya, ahli Parlimen tidak perlu bimbang dijangkiti Covid-19.

“Pandemik Covid-19 tidak seharusnya menjadi alasan untuk kerajaan menunda sidang Parlimen,” katanya. – 16 Mei, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen