Pemegang visa MM2H mesti disahkan negatif Covid-19 sebelum pulang, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata ekspatriat dan ahli keluarga di bawah program MM2H perlu disahkan negati Covid-19 sebelum kembali ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

EKSPATRIAT dan ahli keluarga di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) hanya dapat kembali ke negara ini selepas mereka disahkan negatif Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan berkata ini adalah langkah pertama dalam perjalanan mereka kembali ke Malaysia.

“Mereka mesti mematuhi SOP yang sangat ketat. Pertama mereka perlu disahkan negatif dari virus berkenaan dan apabila tiba di Malaysia, mereka akan dikuarantin selama 14 hari,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata mereka tidak boleh lari dari dikuarantin sebaik tiba di Malaysia.

“Tidak ada maklumat sekiranya mereka bersentuhan dengan pesakit Covid-19 ketika dalam perjalanan pulang.

“Ini bagi mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. 

Beliau berkata ini termasuk saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diikuti dengan proses kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

“Mereka juga mesti menanggung kos penginapan di pusat kuarantin berkenaan.

“Mereka mungkin bebas virus berkenaan namun tiada siapa tahu,” katanya.

Dalam satu kenyataan awal hari ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata selepas penggantian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 Mei hingga 9 Jun, Putrajaya memutuskan ekspatriat dan keluarga mereka dapat kembali pulang bermula esok (17 Mei). 

Keputusan itu dibuat selepas The Malaysian Insight mendedahkan kira-kira 200 pemegang visa MM2H mengadu mereka terperangkap di luar negara susulan PKP yang melarang kemasukan orang asing ke negara ini. 

Pengarah MM2H Sharifah Ikhlas Syed Ismail Al-Jaffree memberitahu seramai 200 ekspatriat sangat berharap dapat kembali ke Malaysia, sambil menambah kemungkinan lebih ramai lagi yang terperangkap di luar negara.

“Menurut rekod kami, sekitar 200 orang memohon (untuk kembali ke Malaysia), tetapi kami anggarkan lebih ramai lagi,” kata Sharifah kepada The Malaysian Insight. – 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen