Pemegang visa MM2H dibenar kembali ke Malaysia bermula esok, kata menteri


Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata ekspatriat dan tanggungan mereka yang pulang harus mematuhi syarat kuarantin yang ditetapkan oleh Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

EKSPATRIAT dan tanggungan mereka di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) yang terkandas di luar negara boleh kembali pulang ke negara ini bermula esok, kata Nancy Shukri.

Dalam satu kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata berikutan penggantian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 Mei hingga 9 Jun, Putrajaya memutuskan ekspatriat dan keluarga mereka dapat kembali pulang bermula esok (17 Mei).

Bagaimanapun Nancy berkata mereka yang pulang harus mematuhi syarat kuarantin yang ditetapkan oleh Putrajaya.

Beliau berkata ini termasuk saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diikuti dengan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin.

“Mereka juga perlu menanggung kos penginapan di pusat kuarantin,” katanya. 

Keputusan itu dibuat selepas The Malaysian Insight mendedahkan kira-kira 200 pemegang visa MM2H mengadu mereka terperangkap di luar negara susulan PKP yang melarang kemasukan orang asing ke negara ini.

Pengarah MM2H Sharifah Ikhlas Syed Ismail Al-Jaffree memberitahu seramai 200 ekspatriat sangat berharap dapat kembali ke Malaysia, sambil menambah kemungkinan lebih ramai lagi yang terperangkap di luar negara.

“Menurut rekod kami, sekitar 200 orang memohon (untuk kembali ke Malaysia), tetapi kami anggarkan lebih ramai lagi,” kata Sharifah kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai berkata bahawa mereka yang meminta bantuan untuk pulang semula adalah antara 100 dan 200 orang, perinciannya telah disampaikan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Semasa fasa kedua PKP, sekitar awal April, kementerian telah bertanya tentang pemegang visa MM2H dan merek yang menyatakan hasrat untuk kembali ke Malaysia.

“Termasuklah mereka yang sekarang ini terperangkap di Singapura, Hong Kong, Jepun, dan lain-lain,” kata Lim. – 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen