Sekarang bukan masanya kejar Pati, pelarian, kata Maria


Aminah Farid

Warga asing yang ditahan dibawa menaiki trak imigresen dalam operasi serbuan di kawasan Jalan Masjid India awal bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa pihak berkuasa berhenti menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pelarian, kerana tindakan itu akan menyebabkan ramai antara mereka enggan tampil menjalani ujian saringan Covid-19.

“Saya sekali lagi menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan ujian terhadap Pati dan pelarian, tanpa mengira status mereka. Sepanjang beberapa minggu lalu, kita lihat ramai Pati diserbu dan ditahan.

“Jika keadaan ini berlanjutan, kita akan melihat lebih ramai pelarian tidak mahu mendapatkan bantuan pihak berkuasa kerana mereka bimbang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa melakukan serbuan untuk menahan Pati tanpa dokumen di dua lokasi di Lembah Klang bulan ini, walaupun pada awal perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac, kerajaan memberi jaminan Pati tidak akan dikenakan tindakan, menggalakkan mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Dua serbuan itu diadakan di Jalan Masjid India pada 1 Mei dan pasar borong Selayang pada 11 Mei.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk kejar Pati, termasuk kanak-kanak, dengan mengepung mereka atau menahan mereka.

“Pihak berkuasa sepatutnya menggalakkan Pati dan pelarian tampil untuk menjalani ujian virus itu, tanpa rasa takut,” katanya.

Sementara itu, berkenaan keadaan penduduk di kawasan PJ Old Town, iaitu kawasannya yang dikenakan PKP diperketatkan (PKPD), Maria berkata bekalan makanan dapat diberikan kepada penduduk terbabit.

Menggunakan dana yang dikumpulan oleh pejabatnya dan bekerjasama dengan Adun di kawasan itu, Maria berkata bekalan makanan dihantar kepada penduduk dan Pati yang terjejas.

“Dalam tempoh 12 jam pertama PKPD, kami dapat menyediakan bekalan asas kepada penduduk dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Rela. Kami sediakan beras, makanan dalam tin, susun, bihun, mi segera dan minyak masak kepada setiap rumah,” katanya. – 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen