Menteri sedang bincang buka semula rumah ibadat


Aminah Farid

Rumah ibadat agama bukan Islam dalam proses dibuka semula dan keputusan mengenainya akan diumum Selasa depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2020.

MENTERI perpaduan sedang berkerjasama dengan kumpulan agama bukan Islam untuk membuka semula rumah ibadat mereka, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara sudah berbincang mengenai perkara itu dan Menteri berkaitan, Halimah Mohamed Sadique akan membentangkan laporan mengenainya pada Sabtu ini.

“Menteri akan berbincang perkara itu dengan wakil lima agama terbesar (bukan Islam) di Malaysia iaitu Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Tao,” kata Ismail pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, keputusan mengenainya akan diumumkan Selasa depan.

Semalam, Menteri Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan melakukan Solat Jumaat bermula hari ini.

Solat boleh diadakan dengan syarat ada sekurang-kurangnya tiga orang tidak termasuk imam tetapi tidak boleh melebihi 30 orang dalam satu kariah.

Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak juga sudah membenarkan masjid dan surau dibuka semula. – 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen