Mukhriz mengadap Sultan Kedah


Zaim Ibrahim

Mukhriz Mahathir dijadual menghadap pada 4.30 petang, Adun terakhir berbuat demikian.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2020.

MENTERI Besar Kedah Mukhriz Mahathir dijadual menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Wisma Aman, pada 4.30 petang hari ini.

Sebelum itu, Adun Pakatan Harapan telah tiba lebih awal untuk pertemuan sesi kedua dengan Sultan Kedah, hari ini.

Antara yang kelihatan ialah Johari Abdul (Gurun) diikuti Tan Kok Yew (Derga), Teh Swee Leong (Kota Darul Aman), Yeo Keng Chuan (Kulim) dan Ooi Tze Min (Bakar Arang).

Sultan Salahuddin pula berangkat tiba ke Wisma Darul Aman pada jam 3 petang.

Pagi tadi, 19 Adun Perikatan Nasional termasuk dua Adun bekas PKR menghadap Sultan Kedah. 

Pertemuan itu diadakan susulan krisis politik di negeri itu apabila dua Adun PKR, Azman Nasruddin (Lunas) dan Dr. Robert Ling Kui Ee (Sidam) keluar parti. Mereka juga menyatakan sokongan kepada PN di Kedah.

Tindakan itu menyebabkan PN yang terdiri daripada PAS dan Umno yang mempunyai 17 kerusi bertambah kepada 19.

PH juga mempunyai 19 kerusi namun kedudukan mereka tidak stabil kerana empat Adun Bersatu menyatakan hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz dan menyokong PN.

Mereka ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Kedudukan semasa PH ialah PKR (lima kerusi), Bersatu (dua), Amanah (empat) dan DAP (dua).

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat.

Kedah bagaimanapun kekal kerana PH membentuk kerajaan dengan Bersatu walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan. – 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen