Sultan Kedah terima mengadap 36 Adun hari ini


Zaim Ibrahim

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dijadualkan bertemu 36 Adun bagi menentukan status kerajaan negeri. – Gambar Facebook, 15 Mei, 2020.

SERAMAI 19 Adun Perikatan Nasional (PN) termasuk dua Adun Bebas, Azman Nasruddin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) tiba di Wisma Darul Aman untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini.

Sultan dijadualkan berkenan mengadap 36 Adun hari ini bagi menentukan status kerajaan negeri.

Baginda dijadualkan bertemu mengadap wakil rakyat PN dulu sebelum kumpulan yang menyokong Menteri Besar Mukhriz Mahathir daripada Bersatu dan Pakatan Harapan.

Adun PN mula tiba ke bangunan itu sejak 9.15 pagi tadi. Majlis itu diadakan di pejabat tuanku di Wisma Darul Aman.

Bagaimanapun, empat Adun Bersatu yang sebelum ini menyokong PN masih belum kelihatan.

Mereka adalah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Setakat berita ini ditulis, kesemua Adun belum lagi keluar daripada pejabat Tuanku Sultan Kedah.

Empat Adun Bersatu yang sebelum ini tidak kelihatan kini berada di Wisma Darul Aman.

Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor pula beredar dari bangunan itu pada 10:38 pagi.

The Malaysian Insight difahamkan pertemuan akan berlangsung dalam dua sesi, dimulai dengan barisan wakil rakyat Umno dan PAS pada sebelah pagi. PH dan Bersatu dijangka hadir pada sesi petang.

Pertemuan itu diadakan susulan krisis politik di negeri itu apabila dua Adun PKR, Azman Nasruddin dan Robert Ling keluar parti. Mereka juga menyatakan sokongan kepada PN di Kedah.

Tindakan itu menyebabkan gabungan PAS dan Umno yang mempunyai 17 kerusi bertambah kepada 19.

PH juga mempunyai 19 kerusi namun kedudukan mereka tidak stabil selepas empat Adun Bersatu juga menyokong PN.

Kedudukan semasa PH ialah PKR (lima kerusi), Bersatu (dua), Amanah (empat) dan DAP (dua).

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat. Kedah bagaimanapun kekal kerana Pakatan membentuk kerajaan dengan Bersatu walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan. – 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen