Siapa jaga rakyat sekarang, tanya Mukhriz selepas 4 Adun Bersatu belot


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mempersoalkan tindakan empat Adun yang tidak lagi menyokng beliau.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

MUKHRIZ Mahathir mempersoalkan tindakan empat Adun Bersatu yang berubah angin tidak lagi menyokong beliau sebagai menteri besar ketika pentadbirannya sedang sibuk menangani penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada rakyat.

Mukhriz berkata beliau sedang mempengerusikan mesyuarat majlis keselamatan khas negeri mengenai Covid-19 semalam ketika muncul berita wakil rakyat pembangkang PAS mengadakan sidang media menyerangnya.

Dalam sidang media itulah semalam, ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan empat wakil rakyat Bersatu tidak lagi menyokong Mukhriz.

“Jadi apa sebab (mereka) nyatakan tidak percaya kepada menteri besar?

“Semalam saya pengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan khas untuk Covid 19. Pada masa sama pembangkang buat sidang media untuk usul tidak percaya.

“Siapa jaga rakyat sekarang?” katanya dalam sidang media di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Mukhriz berkata demikian menjawab soalan yang bertanyakan pandangannya apabila mendengar empat Adun Bersatu tidak lagi menyokongnya sebagai menteri besar.

“Biasalah, apa perasaan bila dikhianati kawan-kawan?

“Sebelum ini berlaku di peringkat pusat sekarang di negeri. Tahun ini bukan tahun begitu baik.

“Kita sibuk isu Covid-19 dan sekarang bulan Ramadan,” katanya.

Empat Adun Bersatu itu ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Juhari, yang juga timbalan speaker DUN Kedah, dan Firdaus mengesahkan perkara itu kepada Bernama, semalam.

Katanya, mereka bukan keluar Bersatu sebaliknya mengikut hala tuju dan arahan parti serta Presiden Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, yang tidak menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.

Semalam, Ketua Pembangkang Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 23 wakil rakyat negeri Kedah termasuk empat dari Bersatu sudah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar.

Sanusi berkata, 19 Adun yang hadir sidang media itu – 15 dari PAS, dua Umno, dan dua dari PKR, yang bertindak keluar parti semalam, bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama di Kedah menggantikan pentadbiran bersama Pakatan Harapan dan Bersatu.

PH dan Bersatu sebelum ini kekal sebagai kerajaan bersama dengan 19 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Kedah, walaupun tidak lagi bersama dalam gabungan politik nasional.

Dengan perkembangan terkini hari ini, Pakatan kini tinggal 11 kerusi iaitu PKR (5), Amanah (4), dan DAP (2), dan Bersatu (2). – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen