Mukhriz hilang kepercayaan sebagai MB, umum 23 Adun Kedah


Zaim Ibrahim

23 Adun Kedah hari ini mengumumkan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

DUA puluh tiga wakil rakyat negeri Kedah termasuk empat dari Bersatu sudah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz Mahathir untuk terus jadi menteri besar, kata Ketua Pembangkang Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS Kedah, bagaimanapun tanpa kehadiran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu berkenaan.

Sanusi berkata, 19 Adun yang hadir – iaitu 15 dari PAS, dua Umno, dan dua dari PKR, yang awal hari ini keluar parti – setuju untuk membentuk kerajaan bersama di Kedah menggantikan pentadbiran bersama Pakatan Harapan dan Bersatu.

“Kerajaan PH jatuh dan hilang keabsahan sebagai kerajaan. 

“Atas sepakat bersama, 19 daripada 23 Adun yang hadir hari ini setuju membentuk kerajaan Perikatan Nasional di Kedah,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Menurut Sanusi, empat Adun Bersatu yang tidak lagi menyokong Mukhriz sebagai menteri besar ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Seorang lagi Adun Bersatu yang kekal bersama Mukhriz ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit). 

Beliau adalah juga Ahli Parlimen Kubang Pasu yang diketahui menyokong Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu terpecah dua susulan keputusan Presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari PH.

Sanusi berkata, gabungan tiga parti PN telah menyerahkan nama calon menteri besar kepada presiden parti masing-masing.

Nama itu kemudiannya akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah sebelum diperkenankan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Kita akan melakukan proses ini satu persatu. Saya harap proses peralihan kuasa dapat diselesaikan sebelum 18 Mei depan,” jelasnya.

Sanusi enggan memberitahu nama calon tersebut walaupun namanya yang disebut-sebut sejak desas-desus peralihan kuasa di Kedah semakin hangat sejak seminggu lalu.

“Saya seorang yang pemalu, apabila ada nama berkaitan dengan saya, saya jadi segan nak jawab,” katanya.

Tengah hari tadi, Adun Sidam Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas Azman Nasarudin mengumumkan mereka bukan lagi wakil rakyat PKR, sebaliknya menyokong PN.

PH dan Bersatu sebelum ini kekal sebagai kerajaan bersama dengan 19 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Kedah, walaupun tidak lagi bersama dalam gabungan politik nasional.

Dengan perkembangan terkini hari ini, Pakatan kini tinggal 11 kerusi iaitu PKR 5, Amanah 4, dan DAP 2, dan Bersatu 2. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen